“Anak Saya Hilang Sekelip Mata” – Keluarga Tuntut Keadilan Anak Maut Dilanggar Anggota Polis

LocalPolitics
7 Aug 2025 • 2:02 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

GURUN – “Luluh hati saya apabila lihat anak tidak sedarkan diri…” kata seorang ibu yang juga jururawat, menceritakan detik tragis menyambut anaknya dalam keadaan sawan selepas terbabit dalam kemalangan, akhir bulan lalu.

Norliza Mohd Salleh, 44, berkata kejadian itu berlaku ketika dia baru memulakan shif malam di Hospital Yan pada 28 Julai lalu.

“Saya tunggu di Jabatan Kecemasan dan apabila kenderaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba, saya sendiri yang buka pintu. Luluh hati bila nampak anak saya dalam keadaan tidak sedar,” katanya sebak.

Anak koma, cedera parah di kepala

Anaknya, Muhammad Nur Iman Danial Mohd Roshidi, 16, tidak mengalami sebarang kecederaan luaran namun disahkan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas pemeriksaan doktor.

“Memang terlalu sedih… anak yang saya sayang hilang sekelip mata,” luahnya.

Kemalangan babitkan anggota polis

Dalam kejadian tersebut, Muhammad Nur Iman terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di persimpangan lampu isyarat Guar Chempedak, lapor Sinar Harian.

Siasatan awal berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati anggota polis terbabit yang datang dari arah Jenun ke Yan didakwa tidak berhenti ketika lampu isyarat merah, lalu melanggar motosikal ditunggang Muhammad Nur Iman dari arah Alor Setar ke Gurun.

Mangsa kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sebelum disahkan meninggal dunia tiga hari kemudian.

Pertuduhan terhadap anggota polis

Ibu mangsa ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret Gurun pada Rabu, ketika mengikuti prosiding pertuduhan terhadap Koperal Azhar Mat Saini, 52, yang didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian anaknya.

“Saya tidak sanggup melihat rakaman CCTV yang tular… terlalu menyakitkan,” ujarnya.

Keluarga lantik peguam, tuntut keadilan

Sementara itu, bapa kepada mangsa, Mohd Roshidi Alias, 44, berkata keluarga mereka akan mengikuti setiap perkembangan kes dan bercadang melantik peguam pemerhati bagi pihak keluarga.

“Saya anggap ini hanya permulaan untuk mencari keadilan buat anak kami,” katanya. – The Malaysian Update