Anak syarikat Capital A perluas perniagaan MRO pesawat di Indonesia menerusi kerjasama TransNusa

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 3:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Anak syarikat Capital A perluas perniagaan MRO pesawat di Indonesia menerusi kerjasama TransNusa Image from: Anak syarikat Capital A perluas perniagaan MRO pesawat di Indonesia menerusi kerjasama TransNusa sarah19/11/2026 - 15:39 Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar; Presiden Pengarah ADE Indonesia, Army Aditya; Pengerusi Eksekutif Capital A Berhad, Datuk Kamarudin Meranun; Presiden Pengarah TransNusa, Bayu Sutanto; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa, Datuk Bernard Francis, pada majlis pemeteraian kerjasama rasmi antara kedua-dua syarikat di Jakarta, hari ini. Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov - Asia Digital Engineering (ADE), anak syarikat milik penuh Capital A Berhad, memperluas perniagaan penyelenggaraan pesawat di Indonesia selepas dipilih oleh TransNusa untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan pesawat Airbus A320 di Jakarta dan Denpasar, Bali.

 

Kerjasama itu akan dilaksanakan menerusi Asia Digital Engineering Indonesia (ADEI), sekali gus memperkukuh usaha ADE mendapatkan pelanggan komersial di luar syarikat sekutu kumpulan serta mengembangkan kedudukannya dalam industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat di ASEAN.

 

Menurut kenyataan bersama hari ini, ADEI akan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta dan Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai, Denpasar, bagi menyokong operasi penerbangan TransNusa.

 

Perkhidmatan berkenaan telah melalui proses audit oleh Direktorat Jeneral Penerbangan Awam Indonesia (DGCA) dan TransNusa bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan keselamatan serta peraturan penerbangan yang ditetapkan.

 

ADE perluas pelanggan di luar kumpulan Capital A

Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar berkata, kerjasama tersebut mencerminkan keyakinan TransNusa terhadap kepakaran syarikat dalam penyelenggaraan pesawat Airbus A320, khususnya bagi memastikan operasi penerbangan berjalan lancar.

 

“Dalam industri penerbangan, pemilihan rakan penyelenggaraan bukan sekadar keputusan komersial, sebaliknya berasaskan kepercayaan, keselamatan, kebolehpercayaan dan komitmen bersama terhadap kecemerlangan operasi,” katanya.

 

Beliau berkata, pengalaman ADE dalam penyelenggaraan pesawat A320 serta pengembangan operasinya menerusi ADEI akan membantu TransNusa mempercepatkan penyediaan pesawat untuk penerbangan seterusnya dan meningkatkan penggunaan pesawat ketika syarikat penerbangan itu mengembangkan rangkaiannya.

 

TransNusa mahu tingkatkan kecekapan operasi

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa, Datuk Bernard Francis berkata, kerjasama dengan ADE penting bagi memastikan syarikat penerbangan itu dapat mengekalkan prestasi penerbangan mengikut jadual ketika memperluas operasi di Jakarta dan Denpasar.

 

“Penyerahan tanggungjawab penyelenggaraan pesawat kepada ADE memberikan kami sokongan teknikal dan tempoh penyediaan pesawat yang pantas untuk memastikan pesawat terus beroperasi mengikut jadual, sementara pasukan kami memberikan tumpuan kepada pengembangan rangkaian penerbangan,” katanya.

 

Ditubuhkan pada September 2020 dan beribu pejabat di Kuala Lumpur, ADE kini mengendalikan 16 barisan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat serta menyediakan perkhidmatan kejuruteraan penerbangan kepada syarikat penerbangan di seluruh Asia.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved