Anak syarikat Maxim Global beli tanah RM95 juta di Subang Jaya

Business & Finance
9 Jul 2024 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Anak syarikat Maxim Global beli tanah RM95 juta di Subang Jaya

herman

09/07/2024 - 18:10

KUALA LUMPUR 9 Julai - Maxim Icon Sdn Bhd (MISB) membeli tanah pegangan bebas seluas 2.352 hektar (5.81 ekar) yang terletak di Subang Jaya, Selangor pada harga RM95 juta.

Menurut Maxim Global Berhad, MISB merupakan anak syarikat 70% miliknya itu memasuki perjanjian jual beli (SPA) dengan Low Siew Ley dan Chin Hon Fah, sebagai pentadbir bersama Estet Low Teck Choon (Mendiang).

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, pemaju perumahan itu berkata, tanah berkenaan terletak berdekatan Jalan Subang 1, dalam Mukim Damansara.

"Harga pembelian tanah RM95 juta itu adalah berdasarkan nilai RM375.25 sekaki persegi," katanya hari ini.

Menurut Maxim Global, berdasarkan penilaian Knight Frank Sdn Bhd, tanah tersebut dianggarkan bernilai RM96 juta.

Lokasi tanah berkenaan cukup strategik di Subang USJ dan sesuai dibangunkan sebagai kawasan pembangunan bercampur/komersial, katanya.

"Cadangan pembelian tanah ini meningkatkan bank tanah Maxim Global di lokasi-lokasi strategik yang berpotensi dibangunkan," katanya sambil memaklumkan bank tanahnya kini mencecah 33 ekar di Lembah Klang dan Labuan.

Ujar Maxim Global, pembiayaan pembelian tanah ini melibatkan pinjaman bank dan sumber dalaman. - DagangNews.com