Anak tak sempat bergelar doktor maut dilanggar bas universiti, ibu tuntut pampasan RM8.1 juta

26 Aug 2022 • 5:32 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

ANAK adalah segala-galanya bagi wanita yang bergelar ibu. Malah demi anak, ibu sanggup melakukan apa sahaja, walaupun nyawa sendiri menjadi pertaruhan.

Kisah dilalui seorang ibu di Thailand yang menuntut pembelaan atas kematian anaknya ini cukup menyayat hati. Nittaya Rungsatit, 55, kehilangan anak tersayang Arunnapa “Eye” Wattanapanich, 19, di dalam satu kemalangan tragis di dalam kampus.

image is not available

Penuntut jurusan perubatan di Khon Kaen University itu tidak sempat menggapai cita-citanya untuk bergelar doktor apabila maut dilanggar sebuah bas dimiliki universiti ketika berada membonceng motosikal ditunggang seorang lelaki yang tidak didedahkan identitinya. Lelaki berkenaan bagaimanapun terselamat walaupun cedera parah.

Video rakaman kamera litar tertutup memaparkan bas Fakulti Kejururawatan itu dipandu dengan cuai di sebuah persimpangan yang mana seorang pengawal bertindak mengawal lalu lintas ketika kejadian.

image is not available
Kredit foto: Thaiger

Bagaimanapun, pemandu bas, Surasak Seehawat, 36, membelok tanpa menyedari kewujudan motosikal dinaiki Eye dan rakan.

image is not available
Gambar hiasan

Surasak bagaimanapun kemudian menyerah diri di tempat kejadian dan menegaskan beliau tidak dapat melihat motosikal itu ketika membelok ke kanan.

Jurucakap Balai Polis Mueng Khon Kaen mengesahkan pemandu itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah. Lelaki itu bagaimanapun didakwa memandu secara melulu menyebabkan kecederaan parah dan kematian. Mahkamah Wilayah Khon Kaen menolak ikat jamin.

Abang Eye, Weerawat Yukthirat, 29, yang merupakan alumni universiti tersebut memberitahu media persimpangan berkenaan terkenal dengan kemalangan. Justeru, beliau kehairanan apabila pihak insitusi pengajian tinggi itu tidak bertindak susulan kemalangan berulang.

Lapor The Thaiger, Weerawat berkata pihak universiti perlu menyiasat sama ada punca kemalangan itu adalah pemanduan melulu atau pengurusan trafik yang tidak sesuai.

image is not available
Gambar hiasan

Ibu bakal doktor yang maut itu tidak mendiamkan diri di atas perkara yang meragut nyawa anaknya. Susulan kejadian, Nittaya ke balai polis bagi membincangkan pampasan dengan wakil universiti.

Selepas empat jam berbincang, wanita terbabit menyuarakan hasratnya untuk bertemu terus dengan rektor Universiti Khon Kaen dan bukannya wakil.

image is not available

Nittaya menuntut pampasan sebanyak 66 juta baht (RM8,197,098.60) dan menjelaskan jumlah itu adalah daripada apa yang anak perempuannya bakal perolehi selepas tamat pengajian.

Wanita berkenaan membuat perhitungan bahawa anaknya akan menamatkan pengajian pada usia 25 tahun dan bekerja sebagai doktor sehingga berumur 60 tahun.

Mengikut perkiraan si ibu, mendiang dijangka memperoleh 5,000 baht (RM620.99) setiap hari. Justeru jumlah keseluruhan pampasan yang dituntut ialah 66 juta baht (RM8,197,098.60)

Ibu berkenaan menambah, beliau belum menerima wang 130,000 baht (RM16,145.80) yang dijanjikan pihak universiti. Nittaya mahu segala-galanya diselesaikan pada mesyuarat pada 12 September dan berharap rektor universiti turut hadir.

TITIK BUTA

Titik buta atau blind spot merupakan kawasan sekeliling kenderaan yang tidak dapat dilihat secara langsung oleh pemandu. Ia merupakan salah satu punca berlakunya kemalangan jalan raya.

Setiap kenderaan mempunyai kawasan titik buta tersendiri yang mana pemandunya tidak dapat melihat kenderaan lain yang mengekori terlalu rapat ataupun sedang memotong. Hal ini disebabkan oleh reka bentuk kenderaan tersebut dan penglihatan pemandu yang terbatas.

image is not available
Gambar hiasan

Titik buta bagi kenderaan berat seperti lori, bas, dan juga treler adalah sangat besar.

Pemandu lori misalnya tidak dapat melihat kenderaan yang berada 10 meter di belakangnya. Justeru, sebelum menukar lorong, pemandunya perlu menoleh sedikit ke sebelah kiri atau kanan bagi memastikan bahawa tiada kenderaan lain berhampiran ketika menukar lorong atau memasuki persimpangan jalan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan