johardy06/02/2026 - 08:59 Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Feb - Berjaya Corp Bhd mengumumkan penyusunan semula Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bersama, Nerine Tan Sheik Ping sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) tunggal berkuat kuasa serta-merta.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan itu turut memaklumkan bahawa seorang lagi CEO Bersama, Vivienne Cheng Chi Fan telah bersara.
Sheik Ping merupakan anak kepada bilionair Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, pengasas Berjaya Corp.

Dalam perkembangan berasingan, Berjaya Corp menyaksikan kemunculan Berjaya True Ascend Sdn Bhd sebagai pemegang saham besar selepas memperoleh 364 juta saham atau pegangan 6.241% dalam konglomerat tersebut.
Berjaya True Ascend merupakan syarikat persendirian milik Vincent Tan dan pegangan itu diperoleh menerusi transaksi perniagaan secara langsung pada Jumaat lalu (30 Jan).
Harga transaksi tidak didedahkan dalam pemfailan tersebut.
Berdasarkan pengiraan kasar, saham Berjaya Corp itu dipercayai dibeli pada harga kira-kira 27 sen sesaham, yang memerlukan Vincent Tan membelanjakan sekitar RM98.28 juta.
Susulan pemerolehan itu, pegangan Vincent Tan dalam Berjaya Corp meningkat kepada 27.106% berbanding 20.864% sebelum ini, merangkumi pegangan langsung sebanyak 8.469% dan pegangan tidak langsung sebanyak 18.637%.
Pada Khamis, saham Berjaya Corp ditutup turun 1.85% atau setengah sen kepada 26.5 sen, sekali gus menilai kumpulan itu pada RM1.58 bilion. - DagangNews.com
