KUALA LUMPUR – Analisis dalaman melibatkan 66 kerusi Parlimen oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) disifatkan sebagai langkah memperkukuh parti itu dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukannya usaha melemahkan rakan dalam Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mujahid Yusof Rawa berkata, kajian tersebut lebih menjurus kepada usaha memperkemas gerak kerja serta memperkukuh kedudukan PKR bagi memastikan PH kekal relevan dan kuat menghadapi pilihan raya akan datang.
Menurutnya, analisis itu tidak seharusnya disalah tafsir kerana fokus utamanya adalah memberi gambaran realistik mengenai kedudukan semasa PH di kerusi Parlimen yang ditandingi dan dimenangi sebelum ini.
“Kajian ini lebih kepada mengemas kini jentera supaya lebih berhati-hati dan menumpukan gerak kerja pilihan raya nanti.
“Saya tidak membuat rumusan seperti mana media membuat pelbagai rumusan kerana hakikatnya ia adalah untuk memastikan kawasan itu diperbaiki mutu gerak kerja agar menjadi lebih baik, bukan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan dokumen bertajuk Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier yang dibentangkan dalam perjumpaan kira-kira 900 pimpinan PKR pada 2 Mei lalu mendedahkan parti itu kini berada dalam mod berjaga-jaga susulan sokongan di beberapa kerusi utama dilihat semakin terhakis.
Menurut laporan itu, daripada 66 kerusi yang dianalisis, hanya tujuh dikategorikan sebagai Tier 1 atau selamat, manakala 13 kerusi diletakkan dalam Tier 2A, 17 kerusi dalam Tier 2B (marginal) dan 29 lagi dalam Tier 3 yang dianggap sukar atau memerlukan pemulihan sokongan.
Antara kerusi Parlimen yang diklasifikasikan dalam kategori marginal Tier 2B ialah Sungai Petani, Tanjung Malim dan Tambun, manakala Gombak serta Sungai Buloh diletakkan dalam Tier 3 yang memerlukan intervensi luar biasa atau bantuan khas daripada kepimpinan pusat.
Terdahulu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjelaskan bahawa analisis strategik tersebut lahir daripada semangat muhasabah diri parti.
Menurutnya, dokumen itu menekankan keperluan merapatkan saf, memperkukuh jentera serta memfokuskan gerak kerja demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Pada masa sama, beliau turut mengecam tindakan pihak yang membocorkan dokumen berkenaan yang disifatkan lebih berminat menjadi “sumber khianat demi berita sensasi” berbanding menjaga adab organisasi.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pihak turut mempertahankan analisis berkenaan dengan menyifatkannya sebagai sebahagian proses penilaian strategi pilihan raya dan bukannya gambaran mutlak terhadap kekuatan sebenar parti.

