ANALISIS: Pentas kemuncak Pas kupas untung rugi kerjasama politik

Politics
1 Sep 2026 • 10:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ANALISIS: Pentas kemuncak Pas kupas untung rugi kerjasama politik

TUJUH tahun lalu, sejarah tercipta di pentas Muktamar Pas di Kuantan, Pahang apabila parti itu menerima usul berhubung taawun siyasi dengan UMNO.

Keputusan berkenaan bukan dibuat sendirian tetapi selepas mendapat mandat sayap-sayap Pas dan perwakilannya yang membahaskan agenda perpa­duan ummah serta kerjasama, sebelum diluluskan dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 itu.

Sejarah dilakar kerana Pas dan UMNO adalah seteru politik sejak sekian lama walaupun pernah bekerjasama. Sebelum itu, ahli akar umbi kedua-dua parti terbesar orang Melayu tersebut boleh dikatakan ‘panas telinga’ mendengar nama Pas atau UMNO disebut.

Namun, atas semangat dan komitmen mahu menjayakan agenda penyatuan ummah, teraju Pas dan ahli akar umbinya menunjukkan semangat positif serta memberikan mandat ter­hadap agenda bertaawun de­ngan UMNO. Rata-rata perwakilan pulang ke negeri masing-masing membawa bersama semangat berkobar-kobar untuk memastikan taawun itu direalisasikan.

Dari sudut kerjasama politik, Pas pernah bersama UMNO de­ngan menyertai Parti Perikatan pada 1973 dan menjadi sebahagian daripada kerajaan sebelum dikeluarkan daripada perikatan tersebut pada 1978 disebabkan krisis politik di Kelantan.

Tiga bulan selepas muktamar berkenaan, Pas dan UMNO memeterai Piagam Muafakat Nasional (MN). Ia antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta ke­sejahteraan negara.

Elemen berkenaan terkan­dung dalam piagam yang ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia (WTC). Hubungan ini bagaimanapun tidak kekal lama. Landskap hubungan asal berubah dengan kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam MN yang mencetuskan pembentukan blok Perikatan Nasional (PN) pada 2020.

Pada 13 Oktober 2022, Pas secara rasmi mengambil pendirian untuk kekal bersama PN sekali gus menamatkan kerjasama MN dengan UMNO.

Kini, selepas enam edisi, tema perpaduan ummah dan kerjasama politik Pas-UMNO kembali dikupas dalam Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan.

Agenda itu terbit selepas Pas yang belajar dari pengalaman­nya mahu menyatukan parti-parti Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem sebagai teras politik negara. Ia ber­ulang kali disebut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang apabila ditanya tentang kerjasama politik yang mahu diterokai parti itu dalam mendepani cabaran semasa.

Namun, persoalannya apakah agenda kerjasama yang mahu dijalin semula ini akan disambut sepenuhnya oleh UMNO? Hakikatnya, kerjasama antara kedua-dua buah parti sudah dirintis semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Mesyuarat Majlis Kerja Ter­tinggi (MKT) UMNO, Jumaat lalu juga mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal oleh agensi, penyelidik dan ahli akademik berhubung sentimen rakyat, khususnya orang Melayu.

Kajian berkenaan antara lain menunjukkan harapan rakyat supaya penyatuan ummah dapat direalisasikan, selain kepentingan Melayu menjadi teras kepada kestabilan politik negara.

Malah, jika pada 2019 rombongan pemimpin UMNO menghadiri Muktamar Pas di Kuantan, situasi sama dijangka berlaku hujung minggu ini apabila parti itu menyatakan akan memenuhi jemputan ke Kota Bharu.

Perkembangan ini memberi isyarat bahawa ada usaha ‘serius’ untuk menjayakan kerjasama politik antara kedua-dua parti itu yang masih diterajui pemimpin sama ketika pembentukan MN sebelum ini.

Namun, ia tidak semudah yang disebut memandangkan tiada parti yang benar-benar dominan dan wujud pelbagai syarat serta perbezaan kekuatan. Malah kekuatan UMNO dan Pas di negeri-negeri adalah berbeza.

Bagi menjayakan agenda ini, sebarang rundingan perlu dilakukan atas prinsip keikhlasan dan kesamarataan supaya kerjasama yang dicapai memberikan manfaat kepada semua pihak tanpa konsep parti lebih besar mendominasi parti lain.

Cuma, jika ia dicapai, apakah bentuk model yang mampu diterima kedua-dua buah parti? Persoalan lebih besar, apakah mampu bertahan kerana sejarah telah menulis ia pernah berkubur.

Bagi Pas, muktamarnya hujung minggu ini yang berlangsung ketika sambutan jubli intan parti itu ke-75, menjadi pentas kemuncak untuk me­ngupas untung rugi kerjasama politik berkenaan. – UTUSAN

The post ANALISIS: Pentas kemuncak Pas kupas untung rugi kerjasama politik appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved