
KUALA LUMPUR - Enggan lagi berlembut dan bertolak ansur, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap golongan yang cuba menggugat keselamatan negara.
Tegas beliau, kerajaan tidak boleh berkompromi dengan perbuatan seumpama itu, apatah lagi saat negara dikunjungi pemimpin luar hari ini.
Katanya, arahan untuk mengambil tindakan telah diberikan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada mesyuarat Kabinet semalam.
“Saya juga temah menghantar mesej kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
"Jika anda ingin memberikan pandangan dan kritikan, tidak mengapa. Di negara ini, ia bebas, tetapi jika anda mengganggu keselamatan negara dan cuba mengkhianati, merumitkan keadaan apabila terdapat tetamu negara, percayalah, saya akan mengambil tindakan tegas, menangkap, dan memenjarakan anda, “ katanya keras.
Perdana Menteri memberi amaran, semua pihak perlu menghentikan perbuatan menyalakan kebencian dan menghasut dengan serta-merta.
“Jangan melanggar prinsip undang-undang. Anda bukan hakim atau ketua polis. Anda mahu mengambil alih tugas ketua polis; kami akan menangkap dan memenjarakan anda.
"Percayalah, jika anda ingin mencuba, cubalah hari ini dan lihat," katanya, semasa berucap di Konvensyen PKR Selangor di Shah Alam hari ini.
Menerusi ucapan sama, Anwar menyeru agar peserta yang terlibat dalam perhimpunan menentang rumah ibadat ‘haram’ tidak mengambil alih peranan pihak berkuasa.
Katanya, isu sensitif tidak seharusnya dieksploitasi atau dimanipulasi sehingga menjejaskan hubungan antara kaum.
Beliau yang juga Ahli Parlimen turut mengulangi pendirian menentang pembinaan rumah ibadat tanpa mematuhi undang-undang, sambil menekankan bahawa peraturan tersebut terpakai kepada semua orang.
"Jika kita melanggar peraturan, hasilnya akan menjadi kebencian, dan masalah itu tidak akan selesai," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata, polis tidak akan membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan di hadapan kompleks membeli-belah Sogo yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan risikan keselamatan dan maklum balas daripada pihak yang terlibat, termasuk pemilik premis di sekitar lokasi tersebut.
Walau bagaimanapun, penceramah bebas dan penyelaras perhimpunan yang kontroversi, Zamri Vinoth semalam menegaskan, perhimpunan itu tetap akan diteruskan.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata polis akan bertemu dengan penganjur untuk meminta mereka membatalkan perhimpunan tersebut.
Perdana Menteri India, Narendra Modi ketika ini sedang berada di Malaysia bagi mengikuti lawatan rasmi selama dua hari bermula hari ini. – Getaran, 7 Februari 2026
