
KUALA LUMPUR - Seorang penumpang yang menaiki penerbangan AirAsia Thai dari Krabi ke Bangkok, ditahan selepas berjenaka mengenai bom.
Gurauan berkenaan turut menyebabkan penerbangan tertangguh selama lebih empat jam bagi memberi laluan kepada pemeriksaan penuh.
Menurut laporan, insiden terbabit berlaku Ahad lalu, melibatkan penerbangan FD4401, sebuah pesawat Airbus A320 yang mengendalikan laluan Krabi-Bangkok Suvarnabhumi.
Lelaki berusia 45 tahun dari Thailand itu dikatakan membuat gurauan tersebut ketika seorang pramugari sedang membantunya menyimpan bagasi di ruangan atas.
Kejadian terlibat berlaku sekitar jam 4.47 petang ketika penerbangan FD4401 menuju ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok, sedang bersedia untuk berlepas.
Susulan ‘gurauan’, pramugari berkenaan segera memaklumkan perkara itu kepada juruterbang, yang memandu pesawat kembali ke tempat parkir, selaras dengan prosedur keselamatan penerbangan standard, sebelum semua penumpang dan bagasi mereka diturunkan untuk pemeriksaan.
Polis mengenal pasti penumpang tersebut sebagai Klathach Phetpathomchon, 45 tahun, dari Chonburi.
Dia memberitahu pegawai, kata-kata itu hanya sekadar gurauan dan sering menggunakan frasa yang sama kepada rakan-rakan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tetap menganggap kenyataan itu sebagai ancaman sebenar walaupun terdapat penjelasan, justeru Pasukan Pelupusan Peralatan Letupan telah dihubungi, manakala pesawat itu dipindahkan ke tempat terpencil yang jauh dari terminal di bawah pelan tindak balas kecemasan lapangan terbang.
Usai pemeriksaan, tiada alat letupan ditemui dan situasi terbabit dianggap sebagai amaran palsu.
Pemeriksaan selesai kira-kira jam 8 malam dan penerbangan akhirnya berlepas sekitar jam 9 malam, lewat empat jam 15 minit dari jadual asal.
Pegawai lapangan terbang mengesahkan bahawa kejadian itu tidak mengganggu penerbangan lain, yang terus beroperasi seperti biasa.
Lelaki terbabit didakwa di bawah Akta Kesalahan Navigasi Udara, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda sehingga 200,000 baht (kira-kira RM25,000) atau kedua-duanya. – Getaran, 28 April 2026



