LONJAKAN harga minyak mentah global sejak kebelakangan ini mula memberi kesan kepada banyak negara termasuk Malaysia.
Namun begitu, kesannya di negara ini masih terkawal berbanding negara jiran seperti Thailand yang dilaporkan berdepan kenaikan harga ketara serta pelaksanaan catuan di beberapa stesen minyak.
Di Malaysia, mekanisme subsidi bahan api yang dilaksanakan kerajaan membantu menstabilkan harga runcit sekali gus mengurangkan beban rakyat.
Walaupun harga global meningkat pengguna tempatan masih menikmati harga yang relatif lebih rendah sekali gus mengelakkan situasi panik atau gangguan bekalan seperti yang berlaku di negara lain.
Bagaimanapun kestabilan ini datang bersama cabaran tersendiri. Perbezaan harga yang ketara antara Malaysia dan negara jiran membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan bahan api.
Kegiatan ini lazimnya melibatkan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan membeli minyak bersubsidi dalam jumlah besar sebelum diseludup keluar untuk dijual pada harga lebih tinggi.
Lebih membimbangkan sindiket penyeludupan kini dilihat semakin terancang dengan penggunaan rangkaian logistik dan sokongan dalaman bagi mengaburi pihak berkuasa.
Justeru, beberapa langkah proaktif perlu dipertimbangkan bagi mengekang aktiviti ini. Antaranya ialah memperketat kawalan di sempadan melalui peningkatan rondaan dan penggunaan teknologi pemantauan moden seperti dron serta sistem pengesanan digital.
Selain itu penguatkuasaan undang-undang perlu diperkasa dengan hukuman lebih berat bagi memberi kesan pencegahan.
Kerajaan juga boleh meneliti semula mekanisme subsidi secara lebih bersasar bagi memastikan hanya golongan yang layak menikmati manfaat tersebut.
Kesedaran awam turut memainkan peranan penting dalam menangani isu ini. Orang ramai perlu tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.
Meskipun Malaysia masih mampu mengawal impak kenaikan harga minyak global, langkah berterusan dan tegas perlu diambil bagi memastikan ketirisan akibat penyeludupan dapat dibendung demi kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.


