Anda boleh perbaharui pasport di KLIA, lebih banyak pejabat pasport dibuka hujung minggu

25 Jan 2023 • 12:23 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Untuk memudahkan urusan memperbaharui pasport serta mengurangkan kesesakan di pejabat pasport yang lain, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah membuka pejabat pasport baru di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan, ia akan memberi manfaat kepada 3.4 juta pengguna di daerah Sepang dan sekitarnya, seperti Putrajaya, Kuala Langat, Petaling, Seremban dan Port Dickson.

Tambahnya, Pejabat Pasport KLIA adalah projek rintis dan ia merupakan kejayaan singkat buat JIM untuk menyelesaikan masalah kesesakan di Pejabat Pasport yang lain. Jika projek rintis ini berjaya, mereka merancang untuk membuat pejabat yang serupa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Pejabat Pasport KLIA telah mula beroperasi pada 16 Disember 2022 dan telah menguruskan 182 permohonan pasport rakyat Malaysia sehingga 18 Januari 2023. Ia juga akan menyediakan tempat untuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi perkhidmatan Dokumen Pengenalan Sementara, penggantian kad pengenalan dan cabutan sijil lahir.

Waktu operasi Pejabat Pasport KLIA ialah dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, hari Isnin hingga Jumaat (tidak termasuk cuti umum). Pejabat ini terletak di Tempat Letak Kereta Jangka Panjang KLIA, kira-kira 1.5km daripada terminal utama KLIA.

image is not available

Waktu operasi hujung minggu dan lebih panjang

Saifuddin juga memaklumkan sebanyak 20 pejabat pasport JIM akan mula beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad, mulai 28 Januari 2023. Ia akan beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 12.30 tengah hari pada hujung minggu.

Pejabat pasport tersebut adalah:

  1. Menara Ikhlas, Putrajaya
  2. Jalan Duta, Kuala Lumpur
  3. Wangsa Maju, Kuala Lumpur
  4. Shah Alam, Selangor
  5. Kelana Jaya, Selangor
  6. Kajang, Selangor
  7. Puchong, Selangor
  8. Pelabuhan Klang, Selangor
  9. Kuala Selangor, Selangor
  10. Kuala Kubu Baru, Selangor
  11. Setia Tropika, Johor
  12. Kulai, Johor
  13. Muar, Johor
  14. Kluang, Johor
  15. Batu Pahat, Johor
  16. Melaka
  17. Taiping, Perak
  18. Teluk Intan, Perak
  19. Seberang Jaya, Pulau Ponang
  20. Kulim, Kedah

Selain itu, pejabat imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan beroperasi lebih lama, sehingga 7 malam pada hari biasa (Isnin-Jumaat) dan sehingga 5 petang pada hari Sabtu dan Ahad. Kecuali di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang beroperasi hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu.

[Sumber: NST]
[Gambar: MyAirlines]

Bacaan Berkaitan