Anda Punya Hasrat Membeli Tesla? Baca Dulu Kisah Mario Zaleya Bila Keretanya Kehabisan Bateri

Cars
25 Sep 2022 • 2:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan Pexels

Rasanya, hampir semua orang yang memiliki kereta  pernah merasai pengalaman apabila kenderaan mereka terkunci dari dalam bukan? 

Namun, bagaimana jika anda mengalami nasib seperti  Mario Zaleya, pemilik kereta Tesla yang menggunakan kuasa bateri bagi menjana sistem elektrik pada teknologi canggih yang dipasangkan pada kereta? 

Mario pemilik Tesla di Kanada mendakwa keretanya yang bernilai RM630,000 telah terkunci dari dalam selepas kenderaan tersebut kehabisan bateri. 

Kemudian pihak syarikat kenderaan tersebut memberitahunya untuk membuat penukaran bateri yang menelan kos sebanyak RM117,000.

image is not available
Gambar hiasan Pexels

Dia turut memuat naik sebuah video di TikTok dan memberitahu,  ‘kepingan sampah’ (Tesla model S) itu tidak dapat dihidupkan dan terkunci menyebabkan dia tidak dapat memasuki kenderaan tersebut.

Kapsyen yang ditulis pada video tersebut “26K untuk bateri baharu. Terkunci dari luar. ‘Recall’ diperlukan.”

Dia yang membeli kenderaan tersebut pada 2013 berkata model keluaran pada tahun itu dan 2014 mempunyai isu dengan cecair dari sistem penghawa dingin yang bocor dan masuk ke bahagian bateri.

Malah dia juga sudah menghubungi pemilik Tesla yang lain dan mereka juga mengalami masalahnya sama. 

image is not available
Gambar hiasan Pexels

“Tesla cuba menyembunyikan sesuatu dan mereka tidak memberikan apa-apa penjelasan mengapa bateri tersebut mati,” katanya.

Selain itu, Mario juga mendakwa semasa pemilik Tesla menghantar kenderaan mereka untuk proses penyelenggaraan, bahagian bateri tidak diperiksa. Katanya pusat perkhidmatan tidak mempunyai insentif untuk berbuat demikian.

Zaleya yang mahu menjual Tesla miliknya itu yang telah habis tempoh jaminan selama setahun tidak dapat berbuat demikian kerana dokumen pemilik kenderaan terkunci bersama dalam kereta tersebut. Malah dia dikenakan caj USD30 (RM171.31) untuk memperbaharui dokumen tersebut.

image is not available
Gambar hiasan pexels

Seminggu kemudian, Mario memuat naik sebuah video lagi,  menyatakan dia sudah menjual kereta tersebut kepada seseorang. Pembeli itu mengambil keretanya bersama bumper kemudian mengecasnya.

Baru-baru ini, beberapa pemilik Tesla sudah menyuarakan hal ini. Bahkan, sekumpulan pemilik Tesla dari Norway juga bertindak untuk mogok lapar pada bulan Ogos dalam usaha mendapatkan penjelasan daripada CEO Elon Musk berkenaan masalah yang dihadapi oleh kenderaan mereka ini.

Jika anda berhasrat untuk memiliki kereta Tesla ini, barangkali ada baiknya untuk anda meneliti dahulu masalah yang telah dilaporkan oleh pemilik bernama Mario Zaleya ini. - Getaran, 25 September 2022 

View Original Article