
GEORGE TOWN – “Kalau abang baca berita ini, pulanglah. Ayah dan ibu tunggu abang di rumah.”
Demikian rayuan seorang ibu, Azizah Shahadan, 45, kepada anaknya, Mohamad Hijazi Zamri, 26, yang dilaporkan hilang selepas keluar menunaikan solat Isyak di Surau Al-Muttaqin, Sungai Ara di sini, Sabtu lalu.
Mohamad Hijazi merupakan anak sulung daripada tujuh beradik dan bekerja sebagai guru di Sekolah Agama Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Balik Pulau.
Menurut Azizah, anaknya keluar dari rumah dengan menunggang motosikal jenis Yamaha LC berwarna biru dan memakai baju-T lengan panjang berwarna hitam dan jingga serta seluar trek hitam.
“Dia ada menghubungi saya dan beritahu mahu menunaikan solat Isyak di surau sebelum keluar membeli barang di sebuah pasar raya di Bukit Jambul pada pukul 9 malam, Sabtu lalu.
“Tapi, sehingga lewat malam dan keesokan harinya (Ahad), dia masih tidak pulang ke rumah. Kami juga gagal hubungi dengannya sehingga ke hari ini.
“Saya menyangka dia mungkin balik ke rumah kami (kediaman kedua) di Bayan Baru, tetapi kunci rumahnya masih ada di sini dan tidak dibawanya bersama,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Menurut Azizah, ini merupakan kejadian pertama Mohamad Hijazi tidak pulang ke rumah selama lebih 24 jam, sekali gus membuatkan seluruh keluarga bimbang akan keselamatannya.
Katanya, dia dan suaminya, Zamri Saidin, 53, sudah membuat laporan polis di Balai Polis Bayan Baru, pada pukul 10 malam, semalam.
“Kami turut menghubungi semua kenalan rapatnya termasuk rakan-rakan yang berada di Kuala Lumpur, namun mereka juga tidak mengetahui keberadaannya. Mereka juga tidak menerima sebarang panggilan atau mesej WhatsApp daripadanya.
“Ibu dan ayah harap abang pulanglah. Sudah dua hari abang tak balik. Kalau merajuk atau ada apa-apa sekalipun, baliklah. Kami tidak marah. Ayah dan ibu tunggu di rumah. Kami semua tunggu dia,” katanya dalam nada sebak.
Azizah berkata, dia tidak menolak kemungkinan Mohamad Hijazi masih berada di sekitar Pulau Pinang atau ke Taiping, Perak.
“Di Taiping, dia ada seorang pak cik yang baik dengannya ketika belajar dahulu. Cuma pak cik itu sudah tukar nombor telefon dan saya tidak dapat menghubunginya ketika ini,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mohamad Hijazi diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau keluarga bagi membantu mengesan keberadaannya.
-KOSMO! ONLINE
The post ‘Andai Mohamad Hijazi baca berita ini, pulanglah…’ appeared first on Kosmo Digital.
