Anduril Ambil Alih Pembangunan Set Kepala Tentera IVAS Daripada Microsoft

TechnologyDigital
12 Feb 2025 • 1:23 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Anduril secara rasmi mengambil alih projek pembangunan set kepala Integrated Visual Augmentation System (IVAS) untuk kegunaan tentera daripada Microsoft. Projek ini pada asalnya menggunakan teknologi HoloLens dengan ia diumumkan pada tahun 2018. Pelbagai masalah digunakan di lapangan seperti keselesaan dan ketahanan bateri menjadi isu sehingga projek tergendala. Microsoft sendiri telah menamatkan pembangunan HoloLens sejak 2022 tetapi mengadakan kerjasama dengan Anduril tahun lalu.

image is not available

CEO Anduril, Palmer Luckey mengatakan syarikat beliau akan menggandakan usaha untuk menjadikan IVAS lebih baik daripada yang dijangka. Anduril kini bertanggungjawab untuk pengeluaran, perkakasan, perisian dan integrasi sistem kecerdasan buatan (AI) Lattice yang dibangunkan sendiri oleh mereka dengan IVAS.

Dengan IVAS, anggota infantri boleh melihat lokasi musuh yang terselindung apabila ia dikesan oleh dron secara masa nyata. Ini meningkatkan kesedaran anggota di lapangan dengan imej dipaparkan pada paparan realiti terimbuh (AR) IVAS. Ia juga boleh memberikan amaran kehadiran dron musuh yang sedang memburu kawasan operasi.

Sebelum menubuhkan Anduril, Luckey ialah pengasas Oculus dengan syarikat kemudiannya dibeli oleh Meta. Kepakaran dan pengetahuan yang dikumpul semasa di Oculus yang dibangunkan untuk hiburan akan digunakan pula oleh IVAS untuk tujuan ketenteraan.