
Anduril & Archer Aviation melancarkan platform VTOL swaterbang baharu untuk kegunaan pertahanan dan komersial. Varian pesawat bagi tujuan pertahanan diberikan nama Thunder, sebuah pesawat tempur dengan kemampuan terbang menegak yang boleh beroperasi bersama dengan pesawat tempur yang diterbangkan oleh krew manusia.

Platform ini dianggap peningkatan kepada kemampuan sedia da dengan ia menggabungkan kelajuan, jarak, kemampuan membawa beban ketika beroperasi dan kos operasi yang lebih baik berbanding pesawat berkipas konvensional
Dalam video yang dikongsi oleh Anduril, ia memaparkan Thunder beroperasi bersama dengan helikopter tempur Apache. Dalam medan perang krew manusia mengarahkan Thunder memasuki kawasan musuh untuk melancarkan mini dron untuk pemantauan perbatasan sebelum kumpulan utama tiba.
Apabila diserang dengan sistem SAM atau dron, Thunder boleh melancarkan sistem penangkis atau mengarahkan dron sekunder untuk mengorbankan diri. Kemudian Thunder dan Apache akan berganding melakukan proses memusnahkan sistem senjata musuh.

Platform direka untuk membawa beban secara modular mengikut keperluan misi atau tujuan komersial. Thunder boleh menyimpan senjata peluru berpandu ASM, AAM, roket dan dron sekunder dalam ruang kargo utama. Sistem penangkis serangan dron pula disimpan dalam ruang kargo di bahagian hidung.
Selain digunakan sebagai pesawat tempur, platform ini boleh digunakan bagi tujuan komersial seperti teksi terbang atau dron penghantaran. Archer Aviation sudah membangunkan teksi terbang sejak 2018 dengan pesawat VTOL Midnight mereka menyasarkan memberikan perkhidmatan ketika Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Sistem ini menggunakan kuasa hibrid elektrik bagi memberikan jarak perjalanan jauh dan ketahanan lebih lama sepanjang operasi. Dua kipas sendeng digunakan untuk tujahan dengan pesawat akan terbang seperti kapal terbang biasa menggunakan sayap dalam mod penerbangan mendatar.
Beberapa ujian penerbangan dengan pesawat pengganti berskala penuh telah selesai. Penerbangan pertama Thunder pula dijadualkan pada 2027.. Archer akan mengumumkan pelanggan komersial pertama minggu ini.

