Aneka Walk destinasi pelancongan futuristik, pacu ekonomi kreatif

LocalTravel
23 Sep 2025 • 1:18 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 23 SEPT: Aneka Walk hasil kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan KRU Entertainment disasar menjadi model rujukan projek pembangunan pelancongan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Entertainment Dato’ Norman Abdul Halim berkata inisiatif itu bakal memajukan Shah Alam sebagai destinasi pelancongan dengan pendekatan holistik berasaskan teknologi imersif dan kecerdasan buatan (AI).

image is not available
Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios Dato' Norman Abdul Halim ketika ditemu bual di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 23 September 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Aneka Walk membuka ruang luas kepada golongan muda menceburi bidang keusahawanan serta mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan.

"Lokasi ini juga tampil sebagai hab kreatif yang mengambil kira minat pelbagai kelompok masyarakat supaya kekal relevan, menarik dan inklusif,” katanya selepas menjadi tetamu rancangan Borak Kaypoh terbitan Media Selangor malam tadi.

image is not available
Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios Dato' Norman Abdul Halim (kanan) di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 22 September 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau optimis projek berkenaan menjadi daya tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa melalui kandungan digital interaktif, persembahan seni memukau serta aktiviti berasaskan komuniti yang berdaya saing di peringkat global.

Sebelum ini, Pengarah Projek Signature PKNS Azilah Arasad@Arshad memaklumkan Aneka Walk yang dibangunkan di Seksyen 14, Shah Alam mampu menampung 3,000 pengunjung serta menyediakan 150 lot niaga untuk usahawan dalam pelbagai sektor termasuk makanan, fesyen, kraf dan seni muzik.

Projek berkonsep hab komuniti moden di Seksyen 14 mencapai kemajuan lebih 80 peratus dan ia akan dirasmikan November ini.

image is not available
Lakaran artis Aneka Walk yang bakal dibuka di Seksyen 14, Shah Alam. Foto PKNS