Anggota Badan Manusia Ditemui Dalam Perut Buaya

1 Oct 2025 • 8:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Buaya yang membaham mangsa dan berjaya dinaikkan ke darat - Gambar Harian Metro

KUALA LUMPUR – Beberapa anggota badan manusia termasuk kepala, rahang, perut dan paha ditemui dalam perut seekor buaya yang berjaya ditangkap di Sungai Semanok, Tatau, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, anggota badan tersebut dipercayai milik Jeffery Masing Win, 21, yang dilaporkan hilang selepas disambar reptilia itu ketika mandi di sungai bersama abangnya, sekitar jam 8.30 malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, abang mangsa cuba menyelamatkan Jeffery dengan menerkam buaya berkenaan, namun gagal sebelum reptilia tersebut mengheret mangsa ke dalam sungai dan menghilang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat hari ini membuahkan hasil apabila penduduk kampung berjaya mengesan dan menangkap buaya yang dipercayai memakan mangsa pada jam 9.25 pagi. 

Buaya tersebut kemudiannya ditarik ke darat berdekatan Rumah Panjang Win.

Pasukan penyelamat terdiri daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan.

Proses pembedahan ke atas bangkai buaya itu dijalankan pihak SFC dengan bantuan anggota bomba pada jam 10.30 pagi tadi.

“Hasil pembedahan menemukan beberapa bahagian tubuh manusia di dalam perut haiwan tersebut. 

Proses berakhir sekitar jam 11.10 pagi dan semua bahagian tubuh diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata jurucakap berkenaan. - Getaran, 1 Oktober 2025