Anggota GISBH mengaku tidak salah ugut bekas ahli

LocalPolitics
18 Sep 2024 • 10:47 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tertuduh tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya sekitar jam 8.40 pagi.

PUTRAJAYA - Seorang anggota GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengaku tidak bersalah melakukan ugutan terhadap wanita untuk menarik semula laporan polis.

Pengakuan itu dibuat oleh Mohamad Riza Makar, 39, di hadapan Majistret, Ahmad Afiq Hasan di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu menakutkan secara jenayah ke atas wanita berusia 25 tahun di tempat letak kenderaan Galeria, Presint 4 di sini, kira-kira jam 10 malam, pada 9 September lalu.

Lelaki tersebut didakwa menakutkan wanita itu dengan mengatakan 'kami tahu dekat mana rumah suami dan keluarga', dengan niat hendak menyebabkan kegentaran supaya bekas ahli GISBH itu untuk menarik balik laporan polis.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan itu, bapa kepada sepuluh anak itu mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman manakala tertuduh diwakili peguam, Zulfikri Ulul Azmin.

Semasa proses pendakwaan, Mohd Sabri Othman memohon mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 dengan dua penjamin ke atas tertuduh selain pasport diserahkan serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun, peguambela memohon kadar tersebut dikurangkan susulan ugutan itu berbentuk ringan, bukan ugutan bunuh atau mencederakan.

Zulfikri dalam hujahannya berkata, kadar dikenakan itu juga terlalu tinggi terhadap tertuduh yang hanya berpendapatan RM4,000 sebagai peniaga dan mempunyai tanggungan tiga isteri serta sepuluh anak.

Tertuduh dalam rayuannya turut memohon kadar itu dikurangkan kerana isteri baharu melahirkan anak tidak sampai sebulan yang kelahirannya belum sempat didaftarkan lagi.

Selain itu lelaki itu memberitahu terbeban disebabkan cuti sekolah perlu apabila menyediakan dana untuk aktiviti dan persiapan pembukaan sekolah anak-anak.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan tertuduh tidak boleh mendekati pengadu serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga sebutan kes itu pada 18 Oktober ini.