Anggota JPJ prihatin tumpangkan ibu, tiga anak kecil ketika hujan lebat

23 Mar 2026 • 4:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota JPJ SPK Kalumpang ketika membantu sebuah keluarga kecil yang berdepan kesukaran ketika hujan di Lebuhraya Utara-Selatan, Khamis lalu. Foto JPJ Selangor
image is not available
Anggota JPJ SPK Kalumpang mempamerkan tanggungjawab sosial apabila menumpangkan wanita dan tiga anak kecilnya semasa hujan lebat di Lebuhraya Utara Selatan pada Khamis lepas. Foto JPJ Selangor

HULU SELANGOR - Tindakan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Stesen Penguatkuasa (SPK) Kalumpang membantu sebuah keluarga kecil yang berdepan kesukaran ketika hujan lebat di Lebuhraya Utara-Selatan di sini, baru-baru ini, wajar dipuji.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.45 petang, Khamis lalu ketika anggota terbabit sedang melaksanakan rondaan Op Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, ketika melalui Kilometer 440 lebuh raya berkenaan dalam keadaan hujan lebat serta jarak penglihatan terhad, anggota JPJ itu terserempak dengan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki bersama isterinya serta tiga orang anak kecil.

“Keluarga terbabit dilihat menempuh perjalanan dalam keadaan mencabar tanpa perlindungan mencukupi, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko keselamatan.

“Menyedari situasi itu, anggota JPJ bertindak memberhentikan kenderaan rondaan di bahu jalan bagi memeriksa keadaan mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

**media[3469982]**

Beliau berkata, hasil perbualan mendapati keluarga berkenaan sedang dalam perjalanan membeli kelengkapan Aidilfitri, namun terpaksa meneruskan perjalanan walaupun hujan lebat kerana kekangan pengangkutan.

“Atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab sebagai penjawat awam, anggota terbabit mengambil inisiatif memberikan bantuan.

“Isteri dan tiga anak kecil dipelawa menaiki kenderaan rondaan JPJ bagi memastikan keselamatan mereka, manakala suami meneruskan perjalanan dengan motosikal secara berhati-hati,” katanya.

Azrin berkata, anggota JPJ itu kemudian menghantar wanita bersama anak-anaknya ke destinasi dengan selamat.

Menurutnya, tindakan berkenaan bukan sahaja mencerminkan nilai kemanusiaan, malah menyerlahkan peranan agensi penguatkuasaan dalam membantu masyarakat, khususnya pada musim perayaan.

“Peristiwa ini menjadi contoh bagaimana semangat prihatin dan tanggungjawab sosial mampu memberi impak besar kepada masyarakat.

“Di sebalik tugas penguatkuasaan, anggota JPJ sentiasa bersedia menghulurkan bantuan demi memastikan keselamatan dan kebajikan pengguna jalan raya terpelihara,” katanya.