Anggota, pegawai polis disiasat kes samun kripto dihadkan tugas

LocalPolitics
13 Apr 2026 • 1:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anggota, pegawai polis disiasat kes samun kripto dihadkan tugas
Shazeli

SHAH ALAM – Pegawai bersama beberapa anggota polis yang disiasat berhubung kes samun melibatkan mata wang kripto, Februari lalu dihadkan kepada tugas bukan lapangan dan bukan tugasan aktif sementara siasatan masih berjalan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran siasatan selain mengelakkan sebarang gangguan terhadap proses berkenaan.

Menurutnya, kes membabitkan seramai 12 anggota dan pegawai polis itu masih belum dirujuk kepada pihak pendakwaan negeri kerana menunggu beberapa laporan teknikal.

"Siasatan tersebut masih belum selesai kerana beberapa laporan teknikal masih lagi diperlukan kerana apabila melibatkan transaksi cryptocurrency.

"Justeru kita menunggu laporan-laporan daripada agensi-agensi yang bersifat teknikal, namun ia hampir selesai tetapi belum selesai dan kita tidak dapat merujuk kepada pihak pendakwaan negeri kerana menunggu lagi laporan-laporan teknikal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin.

Shazeli berkata, kesemua pegawai dan anggota yang disiasat itu bagaimanapun masih menjalankan tugas, namun skop kerja mereka telah dihadkan.

"Masih lagi menjalankan tugas tetapi dihadkan tugas kepada bukan tugas-tugas di lapangan dan tugas-tugas aktif di kawasan yang mereka bertugas,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seramai 12 anggota dan pegawai polis ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan susulan kejadian samun terhadap sekumpulan warga China yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto.