Anggota Polis Berkerusi Roda Menangis Datang Mengundi

15 Nov 2022 • 4:19 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (dua, kanan) beramah mesra bersama pesara polis Sarjan Azmi Abdul Rani yang berkerusi roda selepas menjalankan tanggungjawab mengundi awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini. - Gambar Bernama

SHAH ALAM - Seorang anggota polis yang lumpuh separuh badan Sarjan Azmi Abdul Rani, 53, tidak dapat menahan kesedihan selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Beliau yang datang dengan berkerusi roda, tiba kira-kira 10 pagi tadi dan dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya untuk ke dewan mengundi.

Azmi berkata beliau lumpuh sebelah kanan badannya disebabkan penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Saya sedih sangat, dulu masa bertugas, datang mengundi lain (sihat) tetapi sekarang datang ke sini dengan berkerusi roda, rasa berbeza sangat. Ingat akan tanggungjawab kepada negara, saya hadir hari ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya ini adalah pengalaman terakhirnya untuk mengundi awal sebagai seorang anggota polis kerana akan bersara pada Mei depan.

Azmi antara 1,818 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia bagi kawasan Parlimen Shah Alam yang mengundi awal hari ini di IPK Selangor. - Bernama