Anggota polis disabit rasuah kekal dihukum penjara

LocalPolitics
27 Jan 2026 • 3:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang anggota polis berusia 50 tahun gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukuman penjara empat tahun serta denda keseluruhan RM35,000 atas dua pertuduhan meminta serta menerima rasuah daripada seorang wanita bagi menutup kes pemilikan haiwan dilindungi secara haram.

Hakim Mahkamah Tinggi Maslinda @ Linda Mohd Ainal ketika menyampaikan keputusan pada Isnin menolak rayuan Koperal Donni @ Dainel Tinili dan memutuskan bahawa tiada alasan untuk mahkamah mengganggu dapatan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Sesyen telah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Maslinda turut memutuskan bahawa pada akhir kes pembelaan perayu gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Oleh itu rayuan perayu terhadap sabitan dan hukuman adalah ditolak,” katanya.

Bagaimanapun rayuan balas oleh pihak pendakwaan dibenarkan dengan mahkamah memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara berturut-turut dan bukanya serentak.

Mengenai isu sama ada hukuman perlu dijalankan secara serentak atau berturut-turut Maslinda berkata jenayah rasuah adalah berleluasa dan demi kepentingan awam hukuman yang dijatuhkan perlu mencerminkan peruntukan undang-undang.

Beliau menegaskan bahawa perayu bukan orang biasa sebaliknya seorang pegawai polis yang diamanahkan dengan kepercayaan awam.

“Oleh itu saya bersetuju dengan hujahan Timbalan Pendakwa Raya dan membenarkan hukuman penjara dijalankan secara berturut-turut. Hukuman asal dikekalkan,” katanya.

Donni bagaimanapun berjaya memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Maslinda membenarkan penangguhan tersebut selepas menimbangkan hujahan kedua-dua pihak serta keadaan kesihatan perayu dan membenarkan jaminan dengan menaikan jumlah jaminan sebanyak RM3,000 menjadikan keseluruhan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pada 29 September 2022 Donni didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen selepas perbicaraan penuh.

Bagi pertuduhan pertama beliau dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM25,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda kerana meminta rasuah berjumlah RM5,000 daripada Koyoh Majungkat sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Jupilin Mojungkat yang memiliki haiwan dilindungi di bawah Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 5 pagi, 21 Ogos 2016 di lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kota Kinabalu.

Bagi pertuduhan kedua Donni dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda kerana menerima rasuah RM2,000 daripada individu yang sama bagi tujuan serupa antara jam 1 petang hingga 3 petang, 22 Ogos 2016 di Taman City Park berhampiran bangunan mahkamah lama.

Sebelum ini Mahkamah Sesyen mengarahkan hukuman penjara dijalankan secara serentak bermula dari tarikh sabitan namun perintah itu telah diubah oleh Mahkamah Tinggi kepada hukuman berturut-turut.

Perayu diwakili peguam Adam George Aludah manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip.