Seorang anggota polis mengalami kecederaan serius apabila sebahagian telinga kirinya putus selepas digigit seorang lelaki warga Nigeria dalam kejadian di Metro Prima, Kepong, semalam.
Dalam kejadian jam 10.03 pagi itu, anggota peronda berpangkat koperal tersebut menerima arahan untuk membawa suspek, 38, ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul selepas lelaki itu dilaporkan membuat kacau di sebuah klinik.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek yang sudah bergari ketika itu tiba-tiba bertindak agresif semasa dimasukkan ke dalam tempat duduk belakang kereta peronda, sebelum menggigit telinga kiri anggota polis tersebut hingga terputus sebahagian.
Mangsa segera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.
Siasatan mendapati suspek berada di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan sah. Lelaki itu kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, selain siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sumber: Bernama
The post Anggota polis putus sebahagian telinga digigit lelaki Nigeria appeared first on The Reporter.


