Anggota tentera cedera parah: Dua ditahan, kertas siasatan dirujuk pendakwa raya

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 8:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ab Rahaman berkata, mangsa berusia 25 tahun mengalami retak pada bahagian tengkorak kepala selain pendarahan dalam otak dan kini masih menerima rawatan di PPUM.

JOHOR BAHRU - Dua anggota tentera ditahan bagi membantu siasatan kes seorang anggota tentera yang cedera parah dalam kejadian di Kem Iskandar, Mersing, bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kedua-dua suspek berusia 24 tahun ditahan kira-kira jam 11.45 malam pada 14 Mac selepas laporan polis diterima.

Menurut beliau, mangsa berusia 25 tahun mengalami retak pada bahagian tengkorak kepala selain pendarahan dalam otak dan kini masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.31 malam pada 14 Mac lalu.

“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mersing menahan dua anggota tentera dari kem yang sama kerana disyaki terlibat dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, polis turut merampas sebatang rotan sepanjang kira-kira 72 sentimeter yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian tersebut.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing yang dijalankan juga negatif daripada sebarang jenis dadah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Menurutnya, siasatan telah selesai dijalankan dan kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor pada 28 April lalu bagi mendapatkan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya lagi.

Sebelum itu, media melaporkan peguam kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL), N Surendran menggesa siasatan menyeluruh susulan insiden seorang anggota Rejimen 22 Komando di Kem Sri Iskandar, Mersing yang parah, dipercayai selepas dikenakan hukuman dalam kem tentera.

Surendan berkata, mangsa kini masih tidak sedarkan diri serta bergantung sepenuhnya kepada tiub untuk bantuan pernafasan dan nutrisi.

“Sehingga kini beliau tidak sedar, tidak boleh bercakap dan hanya bergantung kepada tiub untuk hidup.

"Keadaan mangsa yang sebelum ini sihat kini berdepan risiko kecacatan kekal,” katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved