Anggota tentera dilaporkan hilang ketika latihan ditemukan lemas

5 Jul 2025 • 10:43 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUANTAN, 5 JULAI: Seorang anggota tentera darat yang dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di Pelabuhan Kuantan di sini Khamis lepas ditemukan lemas hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Mohd Adli Mat Daud berkata mayat Kpl Mohd Haswansir Julnasir, 30, dijumpai pasukan penyelam pada 10 pagi tadi.

“Mayat mangsa ditemui di kawasan tebing berbatu kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Adli berkata pada 3 Julai lepas pihaknya menerima laporan pada 3.19 petang berhubung seorang anggota tentera hilang semasa menjalani latihan di pelabuhan itu.

Difahamkan, mangsa merupakan seorang daripada empat anggota yang menjalani latihan menyelam bersama pasukan khas.

Operasi mencari dan menyelamat selama tiga hari itu melibatkan pelbagai agensi antaranya polis, Gerup Gerak Khas (GGK), Tentera Laut Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

– BERNAMA