Anggota tentera maut, motosikal rempuh pikap polis rosak

30 Nov 2025 • 10:58 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota tentera maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah pikap polis rosak yang berhenti di lorong kecemasan Kilometer 198.3 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Ayer Keroh.

ALOR GAJAH - Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah pikap polis rosak yang berhenti di lorong kecemasan Kilometer 198.3 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Ayer Keroh, tengah hari Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, mangsa, Mohd Firdaus Ghani, 37, dari Kem Terendak, Masjid Tanah mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku selepas Toyota Hilux dipandu seorang anggota polis berusia 39 tahun berhenti di lorong kecemasan selepas mengalami kerosakan enjin.

"Mangsa yang datang dari arah belakang kemudian dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang kanan kenderaan berkenaan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Orang awam yang mempunyai maklumat tambahan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Loh Gia Xao, di talian 019-538 2353 bagi membantu siasatan.