Anggota Trafik Jumpa Lebih 100 Kilogram Ganja Di Tepi Jalan

28 Dec 2022 • 7:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Polis trafik yang menjalankan tugas 'Snapcheck' menemui ganja bernilai RM257,000 di tepi jalan di Kampung Bukit Jong , Terengganu. - Gambar fail

KUALA TERENGGANU - Pasukan penguatkuasa trafik menjalankan tugas ‘Snapcheck’ menemukan dadah jenis ganja seberat 102.83 kilogram dianggarkan bernilai lebih RM257,000 yang dtinggalkan di tepi jalan di kawasan Kampung Bukit Jong menghala ke Tol Plaza Gemuruh, di sini, Ahad Lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa, berkata empat anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu yang menjalankan ‘Snapcheck’ bermula 2.30 pagi hingga 4 pagi menemui dadah berkenaan.

"Semasa membuat rondaan di susur masuk menghala ke Plaza Tol Gemuruh dari arah Kuala Terengganu menuju Ke Kuantan, anggota tersebut telah menemui lima bungkusan plastik hitam dalam keadaan mencurigakan di atas tanah di tepi penghadang jalan.

"Hasil pemeriksaan mendapati setiap satu plastik hitam mengandungi 101 bungkus ketulan mampat tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Rohaimi berkata beliau percaya dadah berkenaan ditinggalkan oleh suspek di tepi jalan sementara menunggu 'snapcheck' oleh polis trafik yang bertugas di kawasan berkenaan menamatkan tugas. - Bernama