KUALA LUMPUR - Angka 63 peratus pegawai perubatan yang melapor diri untuk penempatan tetap di Sabah dan Sarawak tidak menggambarkan pertambahan sebenar tenaga kerja di fasiliti kesihatan yang mengalami kekurangan doktor, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Presidennya, Dr L Sivanaesan berkata, MMA mengambil maklum pengumuman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengenai kadar pegawai perubatan yang ditawarkan penempatan tetap dan telah melapor diri untuk bertugas di kedua-dua negeri berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, maklum balas diterima daripada cawangan MMA Sabah menunjukkan angka tersebut mungkin tidak menggambarkan situasi sebenar dari segi keperluan tenaga kerja di lapangan.
"Beberapa jabatan hospital dilaporkan mengalami pengurangan bersih jumlah pegawai perubatan, manakala sesetengah doktor terpaksa menjalankan lebih banyak tugasan on-call setiap bulan, termasuk tugasan EOD (every-other-day), iaitu bertugas secara berselang sehari.
"Dalam keadaan tertentu, doktor dalam sektor kesihatan awam boleh bertugas secara berterusan sehingga 33 jam apabila menjalankan tugasan on-call," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada penempatan yang dilaporkan benar-benar meningkatkan bilangan doktor yang berkhidmat di fasiliti kesihatan yang paling memerlukan tambahan tenaga kerja.
Beliau turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan sama ada angka 63 peratus berkenaan turut merangkumi doktor berasal dari Sabah serta pegawai perubatan dari Semenanjung yang sememangnya telah berkhidmat di Sabah dan memilih untuk terus kekal di negeri itu.
"Ketelusan data amat penting bagi mengenal pasti kekurangan tenaga kerja kritikal, menambah baik perancangan tenaga kerja serta memastikan sumber kesihatan disalurkan ke fasiliti yang paling memerlukannya," jelas beliau.
Sehubungan itu, Sivanaesan menggesa KKM mengemukakan pecahan terperinci pegawai perubatan yang telah melapor diri susulan pelantikan tetap, termasuk jumlah pegawai dari Semenanjung Malaysia serta hospital awam dan klinik kesihatan tertentu di Sabah dan Sarawak yang menjadi penempatan mereka.
"MMA juga mahu KKM menyatakan bilangan terkini pegawai perubatan dari Semenanjung yang telah meninggalkan Sabah untuk kembali berkhidmat di penempatan di Semenanjung serta bilangan pegawai perubatan kelahiran Sabah yang meninggalkan negeri itu untuk mengambil penempatan di Semenanjung.
"Selain itu, MMA mahu perubahan bersih jumlah pegawai perubatan di setiap hospital dan klinik kesihatan dikenal pasti susulan pelaksanaan penempatan terkini," katanya.
Dalam pada itu, beliau sekali mengulangi gesaan supaya diwujudkan papan pemuka agihan tenaga kerja kesihatan peringkat kebangsaan yang menyediakan data terkini secara berkala mengenai jumlah, taburan dan jurang tenaga kerja kesihatan di semua fasiliti kesihatan awam di seluruh negara.
MMA turut mengingatkan bahawa meskipun kadar melapor diri adalah 63 peratus, lebih satu pertiga doktor yang ditawarkan penempatan masih belum melapor diri untuk bertugas.
"Usaha menangani krisis tenaga kerja di Sabah dan Sarawak memerlukan lebih daripada sekadar pelaksanaan penempatan. Usaha mengekalkan tenaga kerja, penambahbaikan keadaan kerja, elaun yang adil, sokongan yang mencukupi serta laluan pembangunan kerjaya yang jelas juga sama penting.
"Akhirnya, kejayaan tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah doktor yang melapor diri untuk bertugas, tetapi berdasarkan sama ada fasiliti kesihatan mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk menyediakan rawatan yang selamat, tepat pada masanya dan berkualiti kepada rakyat," katanya.
Terdahulu Dzulkefly memaklumkan 337 daripada 527 pegawai perubatan yang ditawarkan penempatan di Sarawak telah melapor diri, manakala di Sabah seramai 336 daripada 528 turut berbuat demikian.
Beliau berkata kadar 63 peratus itu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding kadar kegagalan melapor diri sebanyak 42 peratus yang direkodkan bagi tempoh 2020 hingga 2025.
TAMAT




