Angka korban banjir Nepal-China meningkat kepada 1,130, hampir 4,500 hilang

2 Sep 2026 • 5:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Angka korban banjir Nepal-China meningkat kepada 1,130, hampir 4,500 hilang

ISLAMABAD, 2 SEPT: Angka korban akibat banjir kilat dahsyat dan gelongsoran lumpur yang membawa kemusnahan di sempadan China-Nepal minggu lepas meningkat kepada 1,130 orang, manakala 4,462 lagi termasuk 844 warga asing masih hilang, menurut data rasmi terkini pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana, 1,114 mayat ditemukan di Nepal sejak banjir kilat besar melanda negara Himalaya itu pada 26 Ogos, manakala 292 orang cedera dan 3,916 lagi termasuk 583 warga asing masih hilang.

Pihak berkuasa memaklumkan kira-kira 12,000 orang telah diselamatkan dari kawasan dilanda banjir, manakala lebih 21,000 anggota keselamatan termasuk tentera dan polis telah dikerahkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan.

Kira-kira 1.6 juta penduduk terjejas akibat banjir kilat di Nepal, menurut pihak berkuasa.

Sekurang-kurangnya 16 orang terkorban di sebelah China, manakala 546 lagi hilang termasuk 261 warga asing, menurut Xinhua.

Akses jalan raya ke kawasan utama Pelabuhan Gyirong di Tibet yang terjejas akibat gelongsoran lumpur, yang dirujuk China sebagai Wilayah Autonomi Xizang, dipulihkan pada Rabu selepas kerja membaik pulih lebuh raya yang rosak dijalankan "sepanjang masa" selama beberapa hari, menurut Xinhua yang berpangkalan di Beijing.

Pasukan penyelamat, bekalan bantuan serta beberapa peralatan menyelamat telah memasuki kawasan utama operasi menyelamat menerusi jalan yang telah dibaik pulih itu.

Pasukan Bantuan Bencana Korea yang dianggotai 44 anggota dari Korea Selatan tiba di Nepal pada Rabu bagi membantu mencari mangsa yang hilang. Sekurang-kurangnya sembilan rakyat Korea Selatan adalah antara mereka yang masih hilang.

China turut menghantar pakarnya selain dron, peranti dan reagen ujian DNA, peralatan penulenan air serta kelengkapan pencahayaan, menurut media kerajaan.

India turut menghantar pakar analisis DNA.

Bencana itu berlaku pada 26 Ogos apabila glasier di Gunung Langtang Lirung, Nepal, pecah pada ketinggian kira-kira 5,200 meter (17,060 kaki), mencetuskan runtuhan ais dan batu yang kemudian bertukar menjadi aliran puing besar sebelum menghanyutkan kawasan lembah di sepanjang sempadan.

Gelombang besar air berserta gelongsoran lumpur itu membawa kemusnahan di Rasuwa, Nuwakot, Dhading, Kavre dan Lembah Kathmandu di Nepal, selain menimbus lintasan sempadan Gyirong dengan Nepal di barat daya Tibet, yang turut dikenali sebagai Wilayah Autonomi Xizang, di sebelah China.

-- BERNAMA-ANADOLU

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved