Angka korban gempa bumi di Venezuela meningkat kepada 920

27 Jun 2026 • 9:35 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Angka korban gempa bumi di Venezuela meningkat kepada 920

BOGOTA (Colombia), 27 JUN: Angka kematian akibat dua gempa bumi kuat yang melanda Venezuela meningkat kepada 920 orang, manakala 3,360 lagi cedera, menurut Ketua Perhimpunan Kebangsaan negara itu, Jorge Rodriguez pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.

Dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen, Rodriguez berkata "gempa berganda" yang melanda pesisir utara negara itu pada Rabu diikuti beberapa gegaran susulan yang kuat, mengakibatkan kemusnahan besar di kawasan paling terjejas di negeri La Guaira.

Beliau berkata sebanyak 383 bangunan mengalami kerosakan, menyebabkan infrastruktur di kawasan berkenaan terjejas.

Seramai 3,007 penduduk dipindahkan dan kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara serta hospital medan.

Pasukan kecemasan, dengan bantuan pasukan mencari dan menyelamat antarabangsa masih meneruskan operasi mengesan mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Rodriguez turut menggesa orang ramai supaya mengelakkan perjalanan ke La Guaira kerana kesesakan lalu lintas menghalang proses pemindahan mangsa yang cedera serta memperlahankan operasi menyelamat.

Menurut Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (USGS), dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 pada skala Richter melanda Venezuela pada Rabu dengan selang masa hanya 39 saat.

USGS memaklumkan gempa bumi 7.5 pada skala Richter berlaku kira-kira 14.3 batu di tenggara bandar Yumare, negeri Yaracuy, manakala gempa 7.2 pada skala Richter berlaku kira-kira 14.9 batu di timur laut San Felipe, juga di negeri Yaracuy.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved