Angkara Tersalah Pasport, Messi ‘Ditahan’ 2 Jam Di Beijing

14 Jun 2023 • 11:18 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Lionel Messi ketika diperiksa oleh pihak berkuasa China ketika berada di Lapangan Terbang Beijing. - Gambar dari media sosial

KUALA LUMPUR – Bintang Argentina, Lionel Messi berdepan masalah di Lapangan Terbang Beijing apabila terkandas di kawalan sempadan selepas cuba menggunakan pasport Sepanyol, bukannya pasport Argentina miliknya.

Messi, 35, tiba di China dengan jet peribadi yang turut disertai pengawal peribadi dan beberapa rakannya, termasuk Angel di Maria.

Dia terbang ke China untuk menyertai rakan sepasukannya bagi aksi persahabatan berdepan Australia, esok.

Bagaimanapun, sejurus tiba di Beijing, tular satu video di media sosial memaparkan Messi dikelilingi beberapa pegawai polis.

Messi dilihat memegang pasportnya ketika sedang bercakap dengan sekumpulan pegawai polis dan media tempatan melaporkan masalah timbul selepas Messi menggunakan pasport yang salah.

Lebih mengejutkan, Messi juga percaya disebabkan dia boleh berkunjung ke Taiwan menggunakan pasport Sepanyolnya, jadi dia boleh berbuat perkara sama untuk ke China.

“Adakah Taiwan bukan China?” soal Messi seperti dilaporkan media tempatan.

Dalam laporan itu juga, Messi dikatakan tidak membawa bersama pasport Argentina miliknya menyebabkan berlaku kekeliruan semasa pemeriksaan di pintu kawalan sempadan.

Susulan itu, Messi terpaksa 'ditahan' selama dua jam sebelum akhirnya menerima visa dan dibenarkan memasuki Beijing.

Ia adalah kunjungan ketujuh bekas bintang Barcelona itu ke China.

Enam kunjungan ke republik itu sebelum ini termasuk ketika Messi membantu Argentina memenangi emas Olimpik 2008 di Beijing. - Agensi