
SHAH ALAM - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengajak pihak sekolah dan pelajar untuk menanam pokok menerusi program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok bagi melestarikan pendidikan alam sekitar sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari.
Pegawai Komunikasi Korporat dan Multimedianya, Rosli Hassan berkata, ia bertepatan dengan hasrat kerajaan yang ingin melestarikan alam sekitar menjelang 2025 dan ia diaplikasikan dalam dunia pendidikan.
Menurutnya, setakat ini lebih daripada 100 buah sekolah di Malaysia telah menjayakan program tersebut dan disambut baik oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan yang lain.
“Walaupun program akan berakhir pada Oktober tahun ini, kami sasarkan sebanyak 1,500 pokok yang akan ditanam seluruh sekolah dan ia turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perhutanan Malaysia,Yayasan Hijau, Malaysia Forest One dan Jabatan Pertanian Malaysia.
“Program ini memberi kesedaran kepada pelajar sekali gus memperkasa ilmu alam sekitar supaya mereka faham kelestarian alam penting kepada kehidupan manusia.
“Kita galakkan pihak sekolah masing-masing datang ke reruai Angkasa untuk buat program ini di sekolah masing-masing sempena Hari Koperasi Sekolah sebagai menyahut hasrat kerajaan yang ingin melestarikan alam sekitar,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 September ini bakal menampilkan pelbagai pertandingan dan aktiviti menarik kepada para pengunjung.
Bermula jam 9 pagi hingga 7 malam, ia terbuka kepada semua pengunjung secara percuma bagi merasai sendiri pengalaman pendidikan digital selaras dengan tema karnival iaitu Memacu Pendidikan Generasi Digital.

