
ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Persekutuan Koperasi Pertanian Kebangsaan (NACF) Korea Selatan bagi meneruskan usaha pertukaran teknologi penghasilan baka lembu.
Angkasa diwakili oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah manakala NACF diwakili Pengarah Dairy Cattle Improvement Center (DCIC) yang diasaskan oleh NACF, Jeong Ho Sang.
Abdul Fattah dalam ucapannya berkata, kerjasama itu bagi membolehkan kedua-dua koperasi itu berkongsi kepakaran dalam penghasilan susu lembu yang lebih baik.
“Sebagai sebuah koperasi besar kita mempunyai tanggungjawab dalam memastikan kualiti susu lembu tempatan yang dihasilkan adalah lebih baik dan memberikan lebih pilihan kepada rakyat.
“Usaha ini juga dijangka akan dapat membantu kerajaan mengurangkan pergantungan import untuk produk susu dan selari dengan Program Pembangunan Tenusu Negara seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-12,” katanya pada Majlis Utama Sesi Walkabout Hari Koperasi Negara (HKN22) di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC) di sini pada Sabtu.
Pada program yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Tan Sri Noh Omar itu, turut dilancarkan Program Eksplorasi CoopUmrah bagi menguji kecekapan pengurusan dan keberkesanan pelaksanaan ibadah umrah dan ziarah yang akan dijalankan di bawah Program CoopUmrah.
Program itu akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh Angkasa iaitu MyAngkasa Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan Angkasa (SPDKK).
Abdul Fattah berkata, buat permulaan, seramai 109 jemaah akan berangkat ke Makkah pada 10 Ogos depan untuk menjalani ibadah umrah serta ziarah selama 12 hari 10 malam.
“Program umrah dan ziarah khas ini merupakan inisiatif baharu yang dijalankan oleh Angkasa dalam meneroka bidang pelancongan demi memanfaatkan seluruh warga koperasi yang bernaung di bawahnya.
“Selain koperasi terdapat juga syarikat swasta dan rakan strategik yang turut serta,” katanya.

