
SEMPORNA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan Program Semarak Madani Jiwa Merdeka di lima pulau di sini, sempena sambutan bulan kemerdekaan tahun ini dalam usaha meningkatkan pengukuhan patriotisme kalangan warganya dan rakyat negara ini.
Pegawai Staf 1 Operasi Kor Risik Diraja ATM, Lefternan Kolonel Shahrin Lizar Saad berkata, lima pulau di Pantai Timur Sabah yang dilawati termasuk Pulau Bum-Bum, Pulau Mabul, Pulau Menampilik, Pulau Mataking dan Pulau Danawan.
Menurutnya, pelaksanaan program tersebut bertujuan untuk mendekati penduduk di kawasan persempadanan maritim negara yang berada jauh dari tanah besar, bagi membolehkan mereka terlibat sama dalam program anjuran jabatan kerajaan.
“Program kenegaraan Jiwa Merdeka bersama penduduk pantai Timur Sabah anjuran ATM ini merupakan salah satu program sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang amat signifikan kepada semarak dan penghayatan nilai-nilai kemerdekan sebagai rakyat yang berdaulat,” katanya.
SPONSORED CONTENT Hajiji says young business professionals' inputs needed to develop Sabah Kota Kinabalu: Chief Minister Datuk Seri Hajiji Noor said he welcomed inputs from young business professionals to assist in policy formulation. Read more Shahrin berkata, antara aktiviti yang diadakan adalah pemasangan bendera Malaysia di sekitar kawasan tumpuan orang ramai, perumahan dan sekolah.
Menurutnya, program yang padat dengan pelbagai acara kenegaraan itu berlangsung pada 14 dan 15 Ogos, dan membabitkan 20 pegawai dan anggota ATM bersama-sama dengan 200 penduduk pulau, guru-guru dan pelajar.
Manakala, pelancaran Program Kenegaraan & Pelancaran Karnival Kemerdekaan diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Terusan Baru, Pulau Bum Bum yang membabitkan beberapa acara keramaian seperti taklimat, nyanyian lagu dan tayangan filem kenegaraan, pertandingan kuiz warisan negara serta permainan tradisi tempatan.
Mengulas lanjut, Shahrin berkata sebagai barisan hadapan pertahanan, anggota ATM akan terus meningkatkan usaha memelihara keamanan dan kedaulatan negara.
Pihaknya juga, katanya, akan sentiasa bekerjasama dengan rakyat bagi mengukuhkan lagi keselamatan negara ini daripada sebarang bentuk ancaman dalaman mahupun luar.
Sementara itu, Guru Besar SK Terusan Baru, Budlaji Tianjji berharap program yang berlangsung di sekolah tersebut berjaya menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan murid-murid, dan sentiasa mengingati tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia yang sejati.
“Marilah kita bersama-sama menghayati nikmat kemerdekaan ini dengan mengisi bulan kemerdekaan dengan ilmu pengetahuan, akhlak mulia dan semangat perpaduan yang kukuh,” katanya.
Menurutnya, program berkenaan amat istimewa kerana ia bukan hanya memperingati detik bersejarah yang mengubah landskap negara, malah menjadi simbolik mengenang jasa pejuang kemerdekaan serta platform menanam semangat patriotik dalam jiwa setiap lapisan rakyat.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

