ANIH laksana laluan kontra selama tiga bulan bagi lancarkan kerja-kerja projek tebatan banjir di LPT1

20 Jul 2023 • 5:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ANIH laksana laluan kontra selama tiga bulan bagi lancarkan kerja-kerja projek tebatan banjir di LPT1

zulfadli

20/07/2023 - 17:45

KUALA LUMPUR 20 Julai - ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) mengumumkan pengaktifan laluan kontra dari KM123.1 hingga ke KM124.7 ke arah Kuantan bermula hari ini, bagi meminimumkan gangguan kepada aliran trafik utama untuk kerja-kerja projek tebatan banjir di LPT1.

Pengaktifan sistem ini adalah disebabkan beberapa skop kerja kritikal seperti penambakan laluan utama dan kawasan sekitarnya, menaikkan tahap ketinggian laluan utama, penambahbaikan menyeluruh kepada laluan air sedia ada dan pembinaan saluran air tambahan di kawasan tersebut.

Projek tebatan banjir ini bertujuan menangani peningkatan paras sungai dan kawasan tadahan hujan yang sebelum ini menjejaskan laluan utama LPT1. Skop kerja ini akan melibatkan 14 kawasan yang telah dikenalpasti di laluan utama di dalam 'Right of Way (RoW)' lebuh raya tersebut.

Pengerusi Eksekutif ANIH, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, pihaknya komited untuk memastikan tahap keselamatan dan keselesaan para pengguna menjadi keutamaan sepanjang projek ini.

"Oleh itu, pengaktifan laluan kontra ini bertujuan untuk mengurangkan gangguan trafik kepada para pengguna.

"Sungguhpun laluan ini akan melibatkan penutupan penuh lebuhraya dari KM123.1 hingga ke KM124.7 ke Kuantan, namun pengaktifan lorong ini akan diubah mengikut kesesuaian dan keperluan trafik semasa," katanya dalam kenyataan media di sini.

Terdahulu, ANIH memberikan taklimat berkenaan maklumat projek dan perkembangan fasa projek tebatan banjir kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sempena lawatan kerja beliau semalam bagi meninjau keadaan kerja-kerja di tapak KM124, arah barat.

image is not available

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Sazali Harun.

Semenjak pembukaan laluan lebuhraya LPT1, empat kejadian banjir berlaku iaitu pada 2007, 2014, Januari 2021 dan Disember 2021 yang menyebabkan lebuh raya ditutup kepada semua jenis kenderaan selama beberapa hari.

Keseluruhan projek tebatan banjir yang dijangka mengambil masa selama empat tahun ini meliputi kerja-kerja menaikkan paras permukaan jalan sedia ada berdasarkan paras banjir tertinggi yang direkodkan di LPT1 dan membina selenggaraan tambahan di kawasan terjejas untuk mengelakkan air daripada masuk ke laluan utama.

image is not available

Para pengguna dinasihati untuk merancang perjalanan mereka dan mematuhi papan arah serta arahan petugas di lokasi.

Bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, para pengguna disarankan untuk mengikuti saluran ANIH TV serta saluran rasmi media sosial ANIH di Facebook (@Lebuhraya Pantai Timur) dan Twitter, (@LPTTrafik) serta LLM di Twitter (@llmtrafik) dan Facebook (@Lembaga Lebuhraya Malaysia).

Untuk sebarang kecemasan, sila hubungi LPT-Line di 1-700-818-700 atau LLM di talian 1800-88- 7752. - DagangNews.com