
SHAH ALAM, 22 APRIL: Jabatan Anak Istimewa Selangor (AnIS) mengadakan simulasi Hari Raya Aidilfitri bagi melatih kanak-kanak istimewa dengan suasana perayaan.
Menurut agensi itu, aktiviti berkenaan juga bagi mendedahkan kanak-kanak terbabit dengan amalan umat Islam dalam menyambut perayaan Aidilfitri.
“Ibu bapa juga boleh cuba melakukan aktiviti ini di rumah bersama anak-anak,” katanya di Facebook baru-baru ini.

Antara simulasi yang dilaksanakan termasuklah bersalam-salaman, menganyam ketupat dan aktiviti membuat kuih raya.
Selain itu, kanak-kanak istimewa berkenaan turut diajar mengemas pakaian ke dalam beg, solat sunat serta adap ketika menerima duit raya.
Sejak diperkenalkan pada 2018, Kerajaan Negeri menerusi AnIS tekad mengutamakan pendidikan termasuk meningkatkan keupayaan kanak-kanak istimewa di Selangor.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata komitmen itu diterjemah menerusi tambahan peruntukan kepada RM5 juta tahun ini berbanding hanya RM3 juta tahun-tahun sebelumnya.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penubuhan pusat jagaan harian anak kelainan upaya (OKU) berusia lima hingga enam tahun sedikit sebanyak membantu meringankan beban ibu bapa kurang berkemampuan.
Beliau memaklumkan hampir 100 permohonan untuk masuk ke Prasekolah AnIS pertama yang ditubuhkan di Seksyen 7 di sini dengan 35 daripadanya sedang mengikuti pembelajaran.
The post AnIS anjur simulasi Aidilfitri, dedah kanak-kanak istimewa dengan suasana perayaan appeared first on Selangorkini.
