‘Anita sudah pun bersara, ke arah kehidupan yang lebih privasi, selesa’ – Suami Anita Sarawak

LocalEntertainment
31 Dec 2024 • 9:37 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Sering membawakan persembahan yang penuh bertenaga dan memukau hati peminat, kehilangan Anita Sarawak dari industri hiburan ternyata membuatkan peminat merindui kemunculan beliau.

Bukan hanya sepi dari industri hiburan, Anita juga dikatakan sepi dari khabar berita tentang kisah peribadinya setelah berhijrah ke luar negara.

Namun, menerusi hantaran dari penulis lirik, Slen Fadzil bakal mengubat kerinduan peminat dengan gambar terbaharu Anita dan suaminya, Mahathir.

Kongsi Slen, baru-baru ini beliau cuba menghubungi penyanyi berkenaan melalui adik angkat Anita, iaitu Shuib Taib untuk mendapatkan persetujuan Anita beraksi dalam konsert mega tribute buat komposer Allahyarham Dato’ Adnan Abu Hassan.

“Lantaran Anita menjadi salah seorang bintang handalan yang turut tersenarai dalam kertas cadangan itu untuk beraksi dalam konsert mega itu bersama ramai lagi penghibur lain yang pernah digilap oleh Adnan. Anita pernah merakamkan lagu Cintamu Muzik Di Hatiku ciptaan Adnan daripada lirik karya Seri Bayu.

“Demi mendapatkan Anita, saya meminta bantuan adik angkat Anita, bekas wartawan Shuib Taib untuk menghubungi Anita dan suaminya, Abang Mahathir di Las Vegas – dengan harapan mereka akan bersetuju. Sesudah Shuib berjaya menghubungi mereka, akhirnya kami mendapat jawapan daripada Abang Mahathir melalui WhatsApp,” katanya.

Bagaimanapun kata Slen, beliau dimaklumkan Anita sudah bersara dari industri hiburan dan memilih kehidupan yang lebih peribadi dan selesa dengan situasi sekarang.

“Demikianlah catatan Abang Mahathir dengan penuh budi bahasa. Jawapan yang mungkin mengecewakan jutaan peminat Anita Sarawak namun itulah hakikat perubahan yang telah terjadi kepada penyanyi Akhirnya Kini Pasti itu,” katanya.