Anjing Liar Ancam Nyawa, PBT Digesa Segera Bertindak

8 Jun 2024 • 12:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anjing liar jika dibiarkan berkeliaran mampu mendatangkan bahaya kepada orang ramai - Gambar Facebook

KUALA LUMPUR - Anjing liar, seperti yang diketahui menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat, malah ia berpotensi mengancam nyawa.

Bagi lokasi sekitar Bestari Jaya di Selangor, haiwan itu sering dilihat berkeliaran di tepi jalan dan ada kalanya mengejar penunggang motosikal yang melalui kawasan berkenaan.

Lebih membimbangkan, anjing liar itu turut memasuki kawasan kampus Universiti Selangor (UNISEL) yang terletak berhampiran.

image is not available
Anjing liar berkenaan turut berkeliaran dalam kawasan kampus UNISEL - Gambar hiasan

Getaran diberitahu, haiwan tersebut baru-baru ini bertindak mengejar mahasiswa, hingga ada yang jatuh dan tercedera.

Ia menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibu bapa, apabila memikirkan tentang anak-anak mereka yang terdedah kepada bahaya.

Seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Soraya berkata, anak perempuannya baru-baru ini mengalami kecederaan akibat dikejar haiwan terbabit.

“Anak saya waktu itu sedang menjalankan projek fakulti apabila dikejar seekor anjing dewasa.

“Akibat dikejar, dia terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian tapak tangan, siku, kedua belah lutut dan pinggang,” katanya, bimbang.

image is not available
Kecederaan yang menimpa anak Soraya selepas dikejar anjing liar baru-baru ini - Gambar Sophia Ahmad

Jelas Soraya, dia dimaklumkan ada antara penuntut yang memberi makan kepada semua anjing liar itu, menyebabkan haiwan berkenaan sering berkeliaran dalam kawasan kampus.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu melakukan sesuatu. Anjing-anjing ini sudah masuk ke dalam kawasan kampus sehingga mengancam keselamatan penuntut.

“Perkara ini sudah tentu tidak boleh dibiarkan,” katanya, kesal.

Susulan insiden, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) diminta mengambil tindakan segera menangkap haiwan berkenaan.

Getaran sedang cuba menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Jefri Mejan bagi mendapatkan maklum balas. - Getaran, 8 Jun 2024

View Original Article