Anker sedia menawarkan sejumlah variasi produk mereka untuk tujuan pengecasan dan simpanan tenaga. Terbaru, Anker turut memperkenalkan sebuah payung yang hadir diintegrasikan bersama panel solar, dinamakan Solix Solar Beach Umbrella. Payung solar ini disasarkan untuk digunakan ketika berkelah, membolehkan pengguna mendirikannya dan menggunakan tenaga yang dijana dalam mengecas peranti.

Anker mengatakan payung solar ini boleh menghasilkan tenaga sehingga 100W, dan menggunakan output berasaskan sambungan USB-C. Anker mengatakan mereka menggunakan sel solar variasi baharu, “Perovskite” yang membolehkan ia menghasilkan tenaga lebih baik berbanding sel solar lain di pasaran.
Payung ini boleh dipasang pada ketinggian sehingga 215 sentimeter, dan berdiameter 190 sentimeter. Seperti payung lain, ia turut kalis air, dan boleh lindungi pengguna ketika hujan. Buat masa ini, harga jualan payung solar ini belum diumumkan oleh Anker lagi.
