Anker ialah sebuah jenama aksesori elektronik yang terkenal untuk penawaran teknologi pengecasan dan juga audio dari China yang hadir dengan ciri-ciri hebat. Terkini, Anker akhirnya telah menawarkan siri aksesori pengecasan terbaru mereka untuk pasaran tempatan.
Ini termasuklah produk-produk seperti Anker Prime Charger (250W), Anker Charger (140W), Anker Zolo Charger 30W dan Anker Power Bank (165W) yang akan tiba ke pasaran tempatan bermula hari ini.

Bermula dengan Anker Prime Charger (250W), ia merupakan sebuah aksesori pengecasan desktop yang dilengkapi dengan enam palam pengecasan, termasuklah empat palam USB Type-C dan dua palam USB Type-A. Palam pengecasan pertama boleh mengecas peranti sehingga 140W, dan tiga lagi palam pengecasan boleh mengecas sehingga 100W, manakala dua palam USB Type-A boleh mengecas sehingga 22.5W.

JIka kesemua palam digunakan, jumlah pengecasan yang boleh dilakukan dengan pengecas ini ialah sehingga 250W, dan pengguna juga boleh mengubahsuai tahap pengecasan palam (140W, 100W dan sebagainya) melalui paparan skrin 2.26 inci, yang juga boleh memaparkan suhu aksesori dan lain-lain.

Jika anda sedang mencari sebuah pengecas padat untuk dibawa bersama-sama anda ketika mengembara atau bercuti, Anker Charger 140W mungkin sesuai untuk anda. Aksesori pengecasan ini hadir dengan tiga palam USB Type-C dan satu palam USB Type-A yang cukup berkuasa untuk mengecas sebuah komputer riba nipis dan ringan dan peranti pintar sekaligus.

Dua palam USB Type-C pada pengecas ini hadir dengan kebolehan untuk mengecas sehingga 140W, dan juga hadir dengan paparan kecil untuk memperlihatkan jumlah pengecasan dan juga suhu pengecas tersebut.

Anker Power Bank merupakan power bank terbesar Anker setakat ini, dengan kapasiti sebesar 25,000mAH ataupun 90Wh dan hadir dengan dua kabel pengecasan terbina, dan satu palam USB Type-C dan satu palam USB Type-A terbina. Kedua-dua kabel USB Type-C hadir dengan kemampuan pengecasan sehingga 100W sekaligus, dan kedua-duanya boleh digunakan sekaligus untuk mengecaskan power bank ini ke 30 peratus kapasiti dari kosong dalam masa 20 minit sahaja.

Sama seperti pengecas-pengecas lain, ia juga hadir dengan paparan skrin yang membolehkan pengguna untuk melihat output pengecasan, tahap peratusan bateri, masa pengecasan dan sebagainya dengan cepat dan mudah.

Ketiga-tiga aksesori pengecasan Anker ini akan ditawarkan bermula hari ini melalui gedung digital Anker Malaysia di Shopee dan Lazada, dan akan dijual melalui pengedar fizikal bermula 15 April 2025 ini pada harga-harga berikut:
- Anker Prime Charger (250W) – RM699 (harga promosi RM599 bermula 15 April ke 30 Mei 2025)
- Anker Charger (140W) – RM349 (harga promosi RM299 bermula 15 April ke 30 Mei 2025)
- Anker Power Bank (90Wh) – RM449 (harga promosi RM399 bermula 15 April ke 30 Mei 2025)


