Ann Joo failkan tuntutan RM9.4 juta baki bayaran jualan Bumi Segar Indah yang didakwa belum dijelaskan

LocalBusiness & Finance
25 Jun 2026 • 9:24 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ann Joo failkan tuntutan RM9.4 juta baki bayaran jualan Bumi Segar Indah yang didakwa belum dijelaskan Image from: Ann Joo failkan tuntutan RM9.4 juta baki bayaran jualan Bumi Segar Indah yang didakwa belum dijelaskan hamden25/06/2026 - 09:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Jun - Ann Joo Resources Bhd memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut baki pembayaran berjumlah RM9.4 juta yang didakwa masih belum diterima daripada penjualan pegangan 51% dalam syarikat pengurusan sisa, Bumi Segar Indah Sdn Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Ann Joo Green Energy Sdn Bhd telah memfailkan tuntutan terhadap pembeli, Datuk Ng Kwok Siong, bulan lalu selepas beliau gagal menjelaskan baki bayaran mengikut tarikh akhir yang ditetapkan pada 7 Mac 2026.

 

Menurut Ann Joo, pendedahan mengenai tindakan litigasi itu hanya dibuat sekarang selepas penilaian semula dalaman mendapati tuntutan berkenaan memenuhi kriteria material seperti yang ditetapkan di bawah Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia.

 

 

 

 

 

 

Di bawah perjanjian jual beli yang dimeterai pada Februari 2026, Ann Joo Green Energy bersetuju melupuskan pegangan 51% dalam Bumi Segar Indah kepada Ng pada harga RM15.14 juta.

 

Sebelum transaksi itu, Ng telah memiliki 32.07% kepentingan dalam syarikat berkenaan, manakala baki 16.93% dipegang oleh DSI Northern Source Sdn Bhd.

 

Kumpulan itu berkata, tindakan undang-undang tersebut dijangka tidak memberi kesan material serta-merta terhadap operasi perniagaannya, sementara sebarang implikasi kewangan hanya dapat ditentukan selepas keputusan mahkamah diperoleh.

 

Pada masa sama, Ann Joo sedang meneruskan usaha menyusun semula portfolio perniagaannya termasuk rancangan untuk keluar daripada segmen huluan keluli yang mencatatkan kerugian.

 

Pada Mei lalu, syarikat itu mengumumkan bahawa Southern Steel Bhd menarik diri daripada cadangan pengambilalihan Ann Joo Steel Bhd.

 

Bagaimanapun, Ann Joo kemudiannya memeterai perjanjian baharu dengan sebuah syarikat berkaitan Green Esteel Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, iaitu pemegang saham terbesar Southern Steel, sekali gus mewakili percubaan ketiga kumpulan itu untuk melupuskan perniagaan huluan berkenaan.

 

 

 

 

 

 

 

Sementara itu, saham Ann Joo ditutup susut 0.99% atau setengah sen kepada 50 sen pada dagangan Rabu, menjadikan syarikat itu mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM355.94 juta.

 

Sejak awal tahun ini, harga saham kumpulan tersebut telah merosot lebih 12%. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved