
Karier lakonan Anna Jobling melakar sejarah apabila dia diumumkan sebagai penerima anugerah Outstanding Asian Star – Malaysia di Seoul International Drama Awards 2025 (SDA) yang berlangsung pada 2 Oktober di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan. Majlis berprestij itu turut disiarkan secara langsung menerusi saluran SBS TV.
Pengiktirafan ini mengukuhkan kedudukan Anna sebagai pelakon muda berbakat besar. Lakonannya dalam drama popular Hai Cinta, Dengarkanlah! bukan sahaja menambat hati penonton tempatan, malah berjaya menarik perhatian peminat antarabangsa.
Dengan kemenangan ini, Anna kini sebaris dengan bintang Asia lain yang diiktiraf di salah satu pentas drama paling berprestij di dunia.

Mengulas kejayaannya, Anna meluahkan rasa syukur dan bangga dan menganggap kemenanganya itu adalah untuk semua yang menyokongnya selama ini.
“Saya benar-benar terharu dengan penghargaan ini. Terima kasih kepada pihak SDA kerana memberi peluang Malaysia bersinar di peringkat global. Trofi ini bukan hanya untuk diri saya, tetapi juga untuk peminat, keluarga, serta seluruh pasukan produksi yang sentiasa menyokong.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada Tonton dan TV3 kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan seni saya. Pengiktirafan ini adalah hadiah istimewa untuk Malaysia,”ujar Anna.
Bagi meraikan kejayaan bersejarah tersebut, Tonton melancarkan kod promo eksklusif ‘ANNAJOBLING’ yang menawarkan langganan tiga bulan pada harga istimewa RM20 bermula 25 September 2025.
Melalui promosi ini, peminat dapat menonton koleksi drama popular Anna termasuk Hai Cinta, Dengarkanlah!, Melur Untuk Firdaus dan Terima Kasih Cinta dan Bella – Bila Cinta Bersatu.
Kemenangan di SDA menjadi titik tolak baharu buat Anna dalam perjalanan kariernya.
Sebagai bintang muda yang semakin bersinar, beliau berazam untuk terus melangkah ke pentas antarabangsa dan menjadi inspirasi kepada generasi pelakon baharu Malaysia agar berani bermimpi besar.
Pengiktirafan ini bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi bukti bahawa industri drama Malaysia semakin mendapat perhatian di mata dunia.
Anna Jobling kini berdiri megah sebagai salah seorang ikon hiburan negara yang berjaya mengangkat nama Malaysia ke persada global. - Getaran, 4 Oktober 2025

