
TAHNIAH diucapkan buat pelakon dan penerbit Datin Anne Ngasri yang dilantik sebagai pengerusi Premiera Hotel Kuala Lumpur berkuat kuasa 2 Mac lalu.
Berita gembira itu dikongsikan menerusi laman Instagram rasmi hotel berkenaan yang turut menzahirkan ucapan tahniah di atas pelantikan tersebut.
Dalam kenyataan yang dimuat naik, pihak pengurusan dan seluruh warga kerja hotel berkenaan menyatakan rasa bangga dan penghargaan atas kepimpinan yang bakal diterajui oleh Anne.

"Seluruh warga kerja Premiera Hotel Kuala Lumpur ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Datin Hajjah Naszriah Ngasri di atas pelantikan sebagai Pengerusi (Chairman) Premiera Hotel yang baharu.
"Kami amat berbesar hati menerima kepimpinan Datin dan komited untuk terus memberikan kecemerlangan di bawah teraju Datin. Selamat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi," kongsinya.
- Tahniah! Usia bukan penghalang, Anne Ngasri jadi inspirasi genggam Diploma KLTVET kala 39 tahun
- Anne Ngasri kini Timbalan Pengerusi Giat MARA, anggun berjubah konvo di majlis graduasi
Sementara itu, Anne menerusi satu hantaran di Facebook meluahkan rasa syukur atas pelantikan yang diterimanya. Ujarnya, ia adalah amanah. Bukan sahaja sebagai tanggungjawab, ia perlu digalas dengan penuh keikhlasan dan integriti.
“Alhamdulillah, syukur di atas kepercayaan dan perhatian yang diberikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya menerimanya dengan penuh rasa syukur, namun saya juga sedar bahawa amanah ini bukan sesuatu yang ringan.
"Ia hadir bersama tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya, penuh keikhlasan dan integriti.
“Saya memohon doa daripada semua agar diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan ketenangan dalam menjalankan amanah ini.
"Semoga setiap langkah ini sentiasa dalam rahmat dan petunjuk ALLAH SWT,” katanya.

Pelantikan ini sekali gus membuktikan kepercayaan terhadap kredibiliti Anne bukan sahaja dalam bidang seni kemasyarakatan, malah dalam dunia korporat dan pengurusan.
Terdahulu, Anne, 42, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Giatmara pada tahun 2023.

