
Empat remaja didenda masak mi segera di stesen minyak Genting Highlands
Antara Alasan Tertuduh, Kelaparan Punca 4 Remaja Masak Mi Segera Di Stesen Minyak. Empat tertuduh yang didakwa memasak mi segera menggunakan dapur gas di sebuah stesen minyak di Genting Highlands memberitahu Mahkamah Majistret bahawa mereka sebenarnya merancang untuk memasak di tempat lain tetapi lokasi itu sudah penuh.
Tertuduh yang terdiri daripada seorang ejen hartanah, peniaga kedai makan, pegawai khidmat pelanggan dan pembantu pergigian berusia antara 23 hingga 24 tahun telah didakwa di hadapan Majistret Nadhratun Naiem Zainan.

Perbuatan itu dianggap gopoh dan membahayakan keselamatan serta nyawa orang lain
Mereka didakwa melakukan perbuatan yang gopoh dengan memasak menggunakan dapur gas di kawasan stesen minyak pada kira-kira pukul 1.30 pagi pada 12 Mei lalu, yang boleh membahayakan keselamatan dan nyawa orang lain.
Menurut laporan, semasa prosiding, Majistret Nadhratun mempersoalkan tindakan tertuduh sebelum salah seorang tertuduh, Fadhli Zil Ikram mengaku bahawa mereka sebenarnya merancang untuk memasak di tempat lain tetapi ianya sudah penuh.
Kesemua tertuduh dari Melaka didenda RM500 oleh mahkamah
Oleh itu, mereka bertindak memasak di kawasan stesen minyak tersebut kerana beranggapan lokasi itu jauh dari nozel minyak dan berhampiran dengan tandas.
Seorang tertuduh lain, Nur Fatin pula berkata perbuatan itu dilakukan secara rawak kerana mereka sudah kelaparan tanpa memikirkan bahaya yang bakal timbul di kawasan stesen minyak.
Keempat-empat tertuduh yang berasal dari Melaka kemudiannya didenda RM500 oleh mahkamah. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


