SEMALAM, sejarah tercipta lagi di pam minyak. Harga diesel tanpa subsidi melonjak ke RM6.02 seliter. Ikut kiraan Merak Jalanan, kenaikan ini hampir 100 peratus sejak Perang Iran meletus.
Bagi rakyat marhaen yang setiap pagi menghitung baki akaun bank, angka ini bukan sekadar statistik. Ia ibarat lintah yang bakal 'menghisap' harga barang dapur, dari sawi hingga ke ayam segar.
Di tengah kegalauan ini, muncul ahli politik yang menyarankan agar rakyat menormalisasikan budaya berbasikal ke tempat kerja untuk jarak dekat.
Idea ini bukan tiada asas. Contohnya ada banyak di negara maju. Di Belanda, hampir 30 peratus perjalanan harian dilakukan dengan mengayuh. Bayangkan, di sana ada 22.8 juta basikal untuk 17.5 juta penduduk.
Namun, perbandingan ini tak boleh pukul rata. Di Belanda atau Denmark, infrastruktur basikal adalah keutamaan, bukan sekadar hiasan cat kuning di tepi jalan yang berakhir di tiang elektrik.
Di Malaysia, berbasikal bukan sekadar soal mahu berpeluh atau tidak. Ia soal nyawa. Di jalan raya, basikal perlu bersaing dengan lori treler dan bas yang juga sedang 'sesak nafas' dek kenaikan kos diesel.
Malah pada pemerhatian Merak Jalanan, kos untuk berjimat juga tidak murah. Di pasaran tempatan, basikal komuter atau lipat berkualiti mencecah RM1,000 hingga RM2,500, bersamaan belasan kali isi penuh tangki minyak kereta kelas sederhana.
Masalah pokoknya tetap sama. Harga barang di pasar tidak akan turun selagi kos logistik melambung. Selagi golongan elit masih selesa meluncur dalam MPV mewah dengan elaun petrol RM1,500 sebulan yang ditanggung rakyat, saranan ini akan terus kedengaran seperti jenaka.
