Perang Dingin antara blok kuasa Barat dan Soviet menjadi pemangkin pembangunan teknologi internet, senjata nuklear, GPS, pesawat sukar dikesan radar, penerokaan angkasa lepas dan banyak lagi. Bagi memastikan UK tidak diserang oleh Soviet ketika Perang Dingin, kapal selam kelas Trafalgar telah dibina ketika dekad 80an. Selepas beroperasi hampir 34 tahun, HMS Triumph salah satu kapal kelas Trafalgar secara rasminya ditamatkan operasi minggu ini.
HMS Triumph menamatkan operasinya semalam dengan ia adalah kapal terakhir dalam kelasnya yang beroperasi dalam Tentera Laut Diraja UK. Sebanyak tujuh dilancarkan antara 1983 hingga 1991 setiap satunya menggunakan kuasa nuklear dan dibangunkan khusus untuk tujuan memburu kapal selam musuh.

Triumph yang dilancarkan pada tahun 1991 terlibat dalam misi menyerang Afghanistan dan Libya menggunakan peluru berpandu Tomahawk. Dengan acara penyahtauliahan dilakukan semalam di Devonport England, Triumph kini bersara dengan kapal bersaudaranya Trafalgar, Turbulent, Tireless, Torbay, Trenchant, dan Talent.
Dengan kapal selam kelas Trafalgar tidak lagi beroperasi, ia kini digantikan pula oleh kapal selam kelas Astute yang lebih besar, berkuasa, moden dan juga berkuasa nuklear. Kapal selam kelas ini boleh berlayar tanpa perlu bahan api digantikan selama 25 tahun. Ia hanya perlu berlabuh setiap 90 hari untuk mendapatkan bekalan makanan.
Perang Dingin mungkin sudah tamat lebih 30 tahun, tetapi ia kini digantikan dengan ketegangan dengan Rusia dan China yang memastikan perlumbaan membina senjata akan berterusan.
