Anthony Loke Buat Tinjauan Mengejut LRT Laluan Kelana Jaya Waktu Puncak

5 Dec 2022 • 9:52 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anthony Loke (tengah) menaiki LRT ketika mengadakan tinjauan mengejut ke stesen LRT Laluan Kelana Jaya, hari ini. - Gambar dari Facebook Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan yang baru dilantik, Anthony Loke Siew Fook melakukan tinjauan mengejut ke stesen LRT Laluan Kelana Jaya bagi melihat sendiri kesesakan dialami penumpang pada waktu puncak petang tadi.

Menurut beliau, tinjauan selama dua jam sekitar jam 5 hingga 7 petang tadi mendapati penumpang terpaksa bersesak-sesak di dalam tren tersebut.

“Petang tadi, saya meluangkan masa dua jam untuk meninjau keadaan sebenar perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya semasa waktu puncak di antara pukul 5 hingga 7 petang.

“Keadaan cukup sesak dalam tren dan sudah tentu tidak selesa kepada penumpang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

image is not available
Anthony Loke mengadakan tinjauan mengejut ke stesen LRT Laluan Kelana Jaya.

Dalam pada itu, Loke mendedahkan beliau tidak memaklumkan kepada Prasarana dan media mengenai tinjauannya itu kerana ingin merasai sendiri keadaan dialami penumpang setiap hari.

Memahami kesulitan dialami penumpang, Loke berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana dalam minggu ini untuk membincangkan hala tuju dan cara untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam.

Terdahulu Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan untuk melantik Setiausaha Agung DAP itu  sebagai Menteri Pengangkutan dalam Kerajaan Perpaduan.

Presiden kesatuan itu Abdul Razak Md Hassan berkata, sokongan terhadap Loke itu berdasarkan rekod prestasi beliau yang pernah memegang jawatan itu sebelum ini dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

"Pihak kesatuan turut percaya, sekiranya pelantikan Menteri Pengangkutan ini dibuat kepada YB (Yang Berhormat) Anthony Loke, maka pengangkutan awam, khususnya akan menerima limpah kebaikan yang terutamanya membantu bagi peningkatan taraf pengangkutan awam yang lebih efisien," katanya. – Getaran, 5 Disember 2022