Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, tampil menjelaskan isu tular berkaitan beliau menyerahkan plak berukir naga ‘melalui pintu belakang’ kepada Presiden China, Xi Jinping baru-baru ini.
Beliau menegaskan tindakan itu adalah atas permintaan pihak keselamatan China untuk memastikan keselamatan Xi Jinping. Penyerahan hadiah tersebut ujarnya dilakukan di kawasan parkir bagi membolehkan Presiden Xi segera masuk ke dalam kenderaan selepas keluar dari hotel.
Memetik laporan daripada Sin Chew Daily, Setiausaha Agung DAP itu turut menegaskan plak berkenaan yang berukir naga itu adalah 100% produk Malaysia, dihasilkan oleh syarikat tempatan milik masyarakat Cina, Royal Selangor dan bukan produk buatan China seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Isu tular berkenaan secara tidak langsung juga telah mempromosikan produk plak berukir naga itu dan menjadi rebutan ramai. Menurut maklum balas dari Royal Selangor, ramai yang berminat untuk mendapatkan produk tersebut. Produk ini merupakan edisi terhad dengan hanya 1,000 unit dihasilkan, dan hadiah yang diberikan kepada Xi Jinping adalah unit ke-351.
Beliau menambah bahawa lawatan Presiden Xi ke Malaysia telah disambut dengan layanan istimewa oleh pemimpin negara, dan Presiden Xi kelihatan sangat gembira dengan sambutan tersebut. Sebagai menteri pengiring, Loke menyatakan bahawa beliau dapat melihat kegembiraan Presiden Xi sepanjang lawatan tersebut.
Hubungan baik Malaysia-China
Dalam pada itu, Loke memaklumkan hubungan baik antara Malaysia dan China membawa manfaat kepada Malaysia. Semasa lawatan tersebut, kedua-dua negara telah menandatangani 31 memorandum persefahaman, termasuk perjanjian pengecualian visa jangka panjang. Ini membolehkan rakyat Malaysia melawat China tanpa visa, dan sebaliknya, lebih ramai pelancong China dijangka melawat Malaysia.
Loke juga menyebut bahawa selepas lawatan tersebut, Malaysia dan China akan meningkatkan kerjasama dalam perdagangan dan operasi pelabuhan. Malaysia juga berhasrat untuk membeli lebih banyak kereta api dari China bagi meningkatkan perkhidmatan rel negara. Beliau berharap pada masa hadapan, barangan dari pelabuhan Malaysia dapat dihantar ke China melalui sistem rel.
Terdahulu, tindakan Loke menerusi video yang dimuat naik oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching telah mengundang persoalan pelbagai pihak.
The post Anthony Loke perjelas isu serah plak pada Xi Jinping melalui pintu belakang appeared first on The Reporter.



