SHAH ALAM – Tiga individu maut selepas dirempuh sebuah treler dalam satu kemalangan tragis yang berlaku dua hari lalu, dipercayai berpunca daripada pemandu lori yang berada di bawah pengaruh dadah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau sempat menziarahi ahli keluarga mangsa di Hospital Segamat, Johor pada Sabtu tengah hari.
Menurutnya, dua lagi mangsa masih menerima rawatan di hospital dengan seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Saya telah berjumpa dengan ibu bapa kedua-dua mangsa dan menyampaikan sedikit sumbangan peribadi bagi membantu kos rawatan serta meringankan beban keluarga,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai satu lagi insiden menyedihkan yang berpunca daripada penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan berat.
Bagaimanapun, ujarnya, kerajaan mengakui majoriti pemandu lori adalah profesional dan menjalankan tugas dengan penuh disiplin, namun masih terdapat segelintir yang tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pemandu agar tidak memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol kerana tindakan itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Dalam pada itu, beliau berharap pihak polis dapat menyelesaikan siasatan kes berkenaan dengan segera dan memastikan pemandu terbabit dihadapkan ke mahkamah tanpa berlengah.
“Saya yakin pihak Peguam Negara akan mengarahkan pendakwaan tegas yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan,” ujarnya.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya menjalankan audit serta siasatan terhadap syarikat pengendali treler terbabit.
Tambahnya, syarikat berkenaan perlu dipertanggungjawabkan atas kegagalan memastikan tahap disiplin pemandu mereka.

