
Di awal era kecerdasan buatan (AI), trend membangunkan LLM sendiri menjadi ikutan industri. Ini diikuti pula oleh chatbot, bot penulisan, model menjana gambar, model menjana video, model pengaturcaraan dan kemudian model dunia untuk robotik. Jika semua ini telah dilakukan, langkah seterusnya ialah membangunkan cip sendiri dengan Anthropic akan turut melakukannya dalam masa terdekat menurut laporan Reuters.

Anthropic sedang menilai untuk membina cip AI sendiri dengan belum ada komitmen rasmi. Pada ketik ini mereka mungkin meneruskan pembelian cip daripada pembekal sedia ada. Idea membangunkan cip sendiri adalah kerana isu kekurangan GPU dan cip AI. Langkah ini selari dengan trend industri dengan Meta dan OpenAI juga telah menyatakan hasrat membangunkan cip mereka sendiri.
Permintaan untuk perkhidmatan Anthropic seperti Claude meningkat naik tahun ini dipacu oleh pengenalan ejen AI seperti OpenClaw dan kemampuan model mereka yang lebih baik berbanding pesaing. Kelebihan Anthropic sekarang ialah model mereka digunakan lebih banyak pelanggan profesional yang sanggup melakukan langganan pada harga tinggi.
Tetapi ia seperti serampang dua mata. Peningkatan pelanggan memerlukan lebih banyak pusat data untuk menanggung beban kuasa memproses. Kos perlu ditanggung dan pengurangan kos perlu dilakukan bagi memastikan operasi syarikat mampan.

